Doktor temui 2kg bebola rambut dalam perut remaja

Doktor menemui bebola rambut bercampur sisa makanan yang memenuhi hampir keseluruhan perutnya yang dikenal pasti sebagai punca kepada siri penyakit yang dialami.
Doktor menemui bebola rambut bercampur sisa makanan yang memenuhi hampir keseluruhan perutnya yang dikenal pasti sebagai punca kepada siri penyakit yang dialami.
A
A
A

WUHAN - Doktor di China terpaksa membuang bebola rambut seberat 2 kilogram (kg) dari perut seorang remaja perempuan selepas dia ketagih menarik dan memakan rambutnya sendiri selama enam tahun.

Menurut laporan South China Morning Post, pada Julai lalu gadis berusia 15 tahun yang digelar Nini dari wilayah Henan, tengah China, pergi ke Hospital Kanak-kanak Wuhan di Wilayah Hubei bersama ibunya.

Remaja itu sangat kurus, dengan ketinggian 1.6 meter (m) tetapi hanya seberat 35 kg.

Selain itu, dia juga tidak datang haid selama enam bulan, lapor Hubei Daily.

Ibunya membawa Nini mendapatkan rawatan kerana sakit perut teruk yang menghalangnya makan dan hampir menyebabkan dia rebah.

Apa yang mengejutkan, pakar bedah menemui gumpalan rambut bercampur sisa makanan dari perut remaja itu.

Nini turut didiagnosis dengan anemia serius. Ibunya memberitahu doktor bahawa anaknya sudah memakan rambut sendiri sejak berusia sembilan tahun.

Doktor mendapati bebola rambut bercampur sisa makanan itu memenuhi hampir keseluruhan perutnya dan dikenal pasti sebagai punca siri penyakit yang dialami.

Pada 14 Julai, Nini menjalani pembedahan membuang bebola rambut tersebut dan ketika operasi doktor mendapati perutnya telah membengkak sehingga dua kali ganda saiz normal.

Artikel Berkaitan:

Lima hari selepas pembedahan, Nini sudah mula makan semula.

Dia kemudian dibenarkan keluar dari hospital dan hadir semula untuk pemeriksaan pada 5 Ogos, di mana doktor mengesahkan keadaannya pulih dengan baik.

"Jika kanak-kanak memakan benda bukan makanan seperti rambut atau kaca lebih sebulan dan tidak mampu berhenti, ibu bapa perlu peka terhadap keadaan yang dipanggil trichophagia dan segera membawa mereka ke hospital," kata seorang doktor yang enggan didedahkan identitinya.

Pakar menegaskan keadaan ini bukan sahaja memerlukan rawatan pembedahan tetapi juga kaunseling psikologi.

Liu Fang, seorang doktor dari Hospital Jinling di Nanjing, wilayah Jiangsu, menulis di laman kesihatan 39.net bahawa pesakit trichophagia lazimnya menerima rawatan kombinasi melibatkan pemakanan, psikiatri dan perubatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!