Pengalaman Chong Wei jadi senjata baharu BAM

PELANTIKAN legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei sebagai salah seorang ahli majlis baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) disambut penuh keyakinan oleh pelbagai pihak, termasuk Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Walaupun sudah beberapa tahun bersara, aura dan pengaruh Chong Wei diyakini masih mampu memberi nafas baharu dalam menggerakkan hala tuju badan induk badminton negara.
Nama Chong Wei bukan asing dalam dunia badminton antarabangsa kerana beliau pernah menjadi tonggak utama Malaysia di pentas Olimpik dan beberapa kejohanan dunia lain.
Pengalaman luas sebagai pemain elit yang pernah menduduki ranking nombor satu dunia selama 349 minggu adalah aset besar yang kini boleh dimanfaatkan BAM.
Pelantikan itu turut dianggap tepat pada masanya ketika BAM sedang giat memperkukuh struktur pembangunan pemain muda dan meningkatkan pencapaian skuad kebangsaan di kejohanan utama.
Kehadiran Chong Wei diyakini dapat memberi input bernas bukan sahaja dari sudut taktikal, tetapi juga psikologi dan strategi jangka panjang.
Hannah menyifatkan kehadiran semula Chong Wei dalam BAM amat dinantikan sejak beliau menerajui kementerian berkenaan pada 2022.
Beliau berkata, lebih optimis apabila bekas atlet diberi peluang memimpin persatuan sukan kebangsaan kerana ia akan menyuntik semangat, keyakinan serta ketepatan dalam membuat keputusan dan dasar.
Walaupun sudah lama meninggalkan gelanggang, kehebatan Chong Wei masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia. Tambahan pula, beliau dikenali sebagai pemain yang tekun, berdisiplin dan fokus terhadap sasaran.
BAM juga disaran memanfaatkan pandangan Chong Wei dalam merangka polisi pembangunan akar umbi supaya Malaysia tidak hanya bergantung kepada bakat sedia ada, sebaliknya berjaya melahirkan lebih ramai jaguh baharu.
Bekas pemain beregu lelaki negara, Tan Boon Heong, turut berpandangan bahawa Chong Wei perlu diberi kebebasan dan kuasa untuk melaksanakan pelan yang difikirkan perlu kerana beliau lebih memahami cabaran sebenar di gelanggang.
Menurutnya, pandangan Chong Wei boleh membantu BAM menyusun strategi, terutamanya dalam merealisasikan visi persatuan untuk mengangkat semula Malaysia sebagai kuasa besar badminton dunia menerusi misi Tangkis 2030.
Pelantikan berkenaan sekali gus memberi mesej bahawa jasa bekas atlet negara tidak dilupakan, malah mereka masih boleh terus menyumbang dengan cara berbeza meskipun sudah bersara.
Bagi Chong Wei sendiri, platform ini adalah peluang terbaik untuk menyalurkan kepakaran dan pengalaman demi kemajuan badminton negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

