Kes Zara Qairina: AGC akan mohon inkues dipercepat

SHAH ALAM - Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memohon agar prosiding inkues berhubung kematian Zara Qairina Mahathir dipercepatkan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan untuk keluarga mangsa dan kepentingan masyarakat umum.
Menurut satu kenyataan media pada Ahad, jabatan terbabit memohon agar permohonan kes berkenaan dipercepatkan memandangkan ia adalah berkepentingan awam.
Sebelum ini, AGC dalam kenyataannya pada Rabu lepas memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina termasuk sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya.
Sehubungan itu, Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah telah mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Koroner Kota Kinabalu untuk inkues diadakan selaras dengan peruntukan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu kemudiannya menetapkan satu tarikh sebutan pada Isnin bagi menentukan tarikh-tarikh pendengaran inkues berkenaan.
Terdahulu, peguam Hamid Ismail yang mewakili ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45, memaklumkan kepada Sinar Harian bahawa Mahkamah Kota Kinabalu menetapkan sebutan inkues berhubung kes kematian Zara Qairina akan diadakan pada jam 9 pagi Isnin.
Ditanya sama ada prosiding inkues akan bermula segera, beliau menjelaskan bahawa tarikh tersebut hanyalah untuk sebutan kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

