Tidak puas hati terlepas temu janji, warga emas mengamuk cuba pukul doktor

Polis menahan seorang lelaki warga emas selepas mengugut dan cuba memukul doktor. Foto hiasan
Polis menahan seorang lelaki warga emas selepas mengugut dan cuba memukul doktor. Foto hiasan
A
A
A

AMPANG - Polis menahan seorang lelaki warga emas selepas dipercayai mengugut serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Ampang pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.15 petang ketika pengadu berusia 30 tahun sedang bertugas di kaunter saringan hospital berkenaan.

“Suspek berusia 61 tahun mengeluarkan kata-kata kesat serta cuba menerkam dan cuba memukul bahagian muka pengadu kerana tidak berpuas hati selepas terlepas tarikh temu janji klinik dan diberikan tarikh baharu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Azam berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya menahan suspek di kawasan Cheras pada jam 2.20 petang, Rabu lalu.

“Hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau. Suspek telah diberikan jamin polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya minggu ini bagi mendapatkan arahan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!