MB Perak ingatkan rakyat jangan pasang bendera terbalik

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik terutama ketika negara menyambut bulan kemerdekaan.
Beliau menegaskan, kesilapan memasang bendera negara termasuk membiarkannya lusuh atau koyak, bukan sahaja mencemar imej Malaysia, malah menjejaskan maruah dan kedaulatan negara.
"Apabila kita kibarkan Jalur Gemilang, biarlah dengan tertib dan beradab. Jangan terbalik, jangan dibiarkan lusuh atau koyak.
"Kalau salah cara pemasangan, sama-sama kita betulkan. Kalau ada yang tidak faham, sama-sama kita beri pencerahan. Inilah tanda kita rakyat yang cakna, rakyat yang peduli," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Rubaayah Osman dan Pengarah Jabatan Penerangan Perak, Yosri Abu Mahsin.
Saarani berkata, menghormati bendera negara bukan isu bangsa, agama atau kabilah kepartian, sebaliknya menjadi tanggungjawab semua rakyat Malaysia yang benar-benar memahami erti kemerdekaan.
"Cara kita menghormati bendera mencerminkan cara kita menghormati negara.
"Jagalah kemuliaannya dengan rasa hormat sebagaimana kita menjaga nama baik diri, keluarga dan negara. Setiap kali ia berkibar megah, biarlah hati kita turut berkobar dengan semangat merdeka," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau meminta semua pihak daripada jabatan kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta, hinggalah masyarakat di kampung dan bandar untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga sepanjang bulan Ogos ini.
Jelasnya, kerajaan negeri telah mengatur pelbagai program untuk dianjurkan di seluruh Perak, termasuk pertandingan penulisan artikel dan pertandingan infografik anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
"Kita juga ada Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 dan Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan Negeri Perak 2025 anjuran Jabatan Penerangan Negeri Perak yang melibatkan kategori Sekolah Menengah, Sekolah Rendah, dan Individu (Rumah).
"Pertandingan ini menggalakkan rakyat menghias premis dan kawasan kediaman dengan tema Bulan Kebangsaan sebagai tanda kebersamaan dan perpaduan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

