Jenazah empat sekeluarga selamat dikebumikan dalam satu liang lahad

PASIR MAS - Empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 33, Jalan Gua Musang–Kuala Krai berdekatan Felda Chiku 1 selesai dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira jam 12 tengah malam pada Isnin.
Ahli keluarga dilihat pilu mengiringi jenazah Muhammad Faiz Nor Amran, 32, Nor Aina Imra, 21, Muhammad Aryan Fattah Abdul Qayyum, 5, dan Muhammad Aydan Fattah, 4, yang tiba di Tanah Perkuburan Kubang Bemban pada jam 11.12 malam.
Jenazah dikebumikan di Madrasah Ar-Rahman di sini selepas dibawa dari Hospital Gua Musang dengan van jenazah.
Ibu kepada Muhammad Faiz iaitu Shahima Hamid, 54, reda dengan pemergian empat ahli keluarganya itu.
Shahima mengakui mula tidak sedap hati apabila anaknya berkeras untuk terus pulang ke Kelantan.
Bagaimanapun dia bersyukur kerana urusan pengebumian jenazah selesai dalam keadaan baik.
*Alhamdulillah ramai ahli keluarga, rakan-rakan dan penduduk kampung yang datang mengiringi jenazah untuk kali terakhir," katanya.
Media sebelum ini melaporkan empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak maut manakala seorang parah apabila kereta yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah treler.
Dalam kejadian pada jam 9 pagi itu terdapat lima mangsa dalam kereta dan seorang mangsa dalam treler.
Bagaimanapun, seorang mangsa di dalam kereta parah dan kini dirawat di Hospital Gua Musang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
