Polis cari pemandu Toyota Alphard rempuh tiga kereta diparkir tepi jalan

MELAKA - Polis sedang mengesan pemandu kenderaan mewah, Toyota Alphard yang hilang kawalan merempuh tiga kereta diparkir di Jalan Merdeka, Melaka Raya, di sini pagi pada Jumaat, sebelum rakaman kejadian tular di media sosial.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.48 pagi itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah berkenaan dipandu laju dari arah Banda Hilir menuju ke Hotel Hatten sebelum terbabas ke kiri jalan.

Sumber berkata, kenderaan berwarna putih itu kemudian melanggar tiga kereta iaitu Lexus, Honda City dan Perodua Myvi yang berada di petak parkir.
"Namun tiada pemandu berada di dalam kereta-kereta tersebut ketika kejadian namun semua kenderaan terbabit mengalami kerosakan.

"Pemandu Alphard berkenaan bagaimanapun masih belum tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes disiasat di bawah Peraturan 10 LN 166/59 kerana terbabas dan melanggar kenderaan lain di petak parkir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

