[VIDEO] Lima warga Iran hadapi pertuduhan jenayah, dadah dan bawah Akta Imigresen

A
A
A

GEORGE TOWN - Lima warga Iran termasuk dua wanita dihadapkan ke mahkamah di atas pertuduhan berasingan membabitkan kesalahan jenayah, dadah serta kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Bagaimanapun, kesemua pertuduhan ke atas Tarfi Ghader, 33, Fazeli Payam 33, Dinarvand Siavash, 28, Zahra Hasani 30 dan Sara Ghiyas, 19, tidak dibacakan di tiga mahkamah berasingan berikutan kesemua tertuduh tidak memahami bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Susulan daripada itu, peguam mereka, R Thandayuthabany Pillay memohon mahkamah satu tarikh sebutan baharu sementara menunggu jurubahasa Parsi untuk membaca pertuduhan terhadap kesemua tertuduh.

Kelima-lima mereka memarahi jurugambar yang merakam wajah mereka dengan menggunakan kata kesat.
Kelima-lima mereka memarahi jurugambar yang merakam wajah mereka dengan menggunakan kata kesat.

Bagi kesalahan di bawah Akta Imigresen di Mahkamah Majistret 1, Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin memohon agar kesemua tertuduh tidak dibenarkan jaminan dengan alasan mereka merupakan warga asing.

Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin kemudiannya menetapkan tarikh 10 September ini untuk sebutan semula bagi menunggu jurubahasa.

Tiada jaminan diberikan terhadap kesemua mereka.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 3, kelima-lima mereka menghadapi pertuduhan memiliki dadah namun kes tersebut turut ditangguh pada tarikh yang sama.

Artikel Berkaitan:

Di mahkamah sama, Tarfi juga menghadapi pertuduhan jenayah mencuri.

Dalam prosidingnya, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad memohon agar jaminan tidak diberikan dengan alasan yang sama.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi kemudiannya bersetuju untuk menangguhkan pertuduhan pada tarikh sama bagi menunggu perkhidmatan jurubahasa.

Dalam pada itu, di Majistret 2, Tarfi, Fazeli dan Dinarvand juga menghadapi pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan.

Kes itu juga ditangguhkan oleh Majistret Muhammad Amzar Ismail sehingga ke 10 September selepas peguam kesemua tertuduh memohon agar tarikh sebutan dilakukan secara serentak.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil.

Pertuduhan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, kesemua warga asing itu direman empat hari bermula Ahad bagi membantu siasatan kes pukau yang menyasarkan pelancong asing di kawasan tumpuan di bandar raya George Town.

Dua wanita warga Iran dibawa ke Kompleks Mahkamah George Town untuk dibacakan pertuduhan.
Dua wanita warga Iran dibawa ke Kompleks Mahkamah George Town untuk dibacakan pertuduhan.

Difahamkan, kesemua suspek terdiri daripada dua wanita dan tiga lelaki berusia 19 hingga 34 tahun terbabit ditahan di sekitar Persiaran Gurney serta Pulau Tikus, antara jam 8 hingga 9 malam.

Pihak polis turut merampas dua kenderaan yang digunakan suspek serta menemukan sejumlah mata wang asing pelbagai negara yang dipercayai diperoleh mereka hasil kegiatan pukau.

Kelima-lima mereka termasuk suami isteri itu dipercayai ahli sindiket yang mempunyai kemahiran dalam mencuri wang.

Kesemua mereka dipercayai memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial sebagai pelancong.

Mereka dipercayai tiba di Pulau Pinang pada 27 Julai lalu serta menginap di sebuah inap desa di Batu Feringghi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!