Polis siasat insiden pelanggaran tular di Jalan Sekerat

Tangkap layar video tular menunjukkan perlanggaran membabitkan dua kenderaan tersebut.
Tangkap layar video tular menunjukkan perlanggaran membabitkan dua kenderaan tersebut.
A
A
A

SUNGAI PETANI – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian pelanggaran membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Sekerat, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian itu tular di media sosial sejak Khamis, membabitkan sebuah kereta Toyota Corolla dan Nissan Grand Livina.

Menurutnya, polis mengesan video berkenaan yang tular di media sosial sekitar 8.30 malam Khamis.

“Kejadian itu dipercayai berlaku sekitar 1.35 tengah hari selepas pengadu melihat kereta Grand Livina miliknya dilanggar lari oleh sebuah Toyota Corolla berwarna putih yang dipandu seorang lelaki.

“Berikutan itu, pengadu mengejar kereta tersebut kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian sehingga ke Jalan Sekerat,” katanya.

Hanyan berkata, apabila suspek menyedari dia diekori, kereta suspek berpusing dan melanggar sisi kanan Grand Livina yang dipandu pengadu.

“Suspek kemudian bertindak keluar dari kereta, mencabar serta memaki hamun pengadu sebelum melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki yang terbabit dalam insiden tersebut dianggarkan berusia antara 30 hingga 40 tahun.

Menurut Hanyan, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan, serta Kaedah 10 LN 166/59 atas kegagalan mengawal pergerakan kenderaan dengan baik.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!