Polis tingkat kawalan keselamatan Rafizi dan keluarga

Shazeli (tengah) dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Khamis. Foto: Rosli Talib
Shazeli (tengah) dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Khamis. Foto: Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - Polis telah meningkatkan kawalan keselamatan terhadap bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan keluarganya susulan kejadian anaknya diserang di Putrajaya pada Rabu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan perkara tersebut namun enggan mengulas lanjut.

"Saya tidak dapat mendedahkan lebih banyak maklumat kerana bimbang akan keselamatan mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini pada Khamis.

Shazeli berkata, keadaan anak Rafizi kini dilaporkan stabil.

"Hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak itu telah disuntik dengan picagari di lengan kirinya oleh suspek. Sampel darahnya telah diambil pihak hospital, kita sedang menunggu laporan perubatan,” katanya.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan dalam kejadian pada jam 2 petang itu, anak Ahli Parlimen Pandan berusia 12 tahun itu, difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

Shazeli dilaporkan berkata, kejadian berlaku di tempat menurunkan dan mengambil penumpang di pusat beli-belah berkenaan.

Sementara itu, Rafizi dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan anaknya diserang dengan cara diheret dan disuntik dengan jarum suntikan di pusat beli-belah tersebut.

Rafizi berkata, kejadian berlaku ketika beliau, isteri dan anaknya mahu memasuki kereta untuk meninggalkan pusat membeli belah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, serangan tersebut melibatkan dua orang lelaki yang berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!