Semak semula keputusan henti perkhidmatan atas talian SSM

Liew Vui Keong
Liew Vui Keong
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong menyarankan agar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan kerajaan Persekutuan menyemak semula keputusan menghentikan perkhidmatan atas talian SSM.

Menurutnya, tujuan utama SSM adalah bertindak sebagai agensi untuk mendaftarkan syarikat serta perniagaan dan menyediakan maklumat berkaitan syarikat dan perniagaan kepada masyarakat umum.

Oleh itu, beliau menyifatkan tindakan penutupan sementara kaunter dan perkhidmatan atas talian itu jelas merupakan satu keputusan yang diambil secara terburu-buru oleh SSM.

"Ia juga merupakan satu keputusan yang bukan sahaja akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara, tetapi turut mendatangkan pelbagai kesan buruk yang lain," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, SSM telah menghentikan operasi kaunternya bermula pada jam 3 petang semalam dan kemudiannya turut menghentikan perkhidmatan atas taliannya pada jam 5 petang.

"Saya merujuk kepada notis SSM bertarikh 17 Mac 2020 yang mengumumkan penutupan sementara kaunter dan perkhidmatan atas talian SSM.

"Ia susulan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan Persekutuan bagi menangani wabak Covid-19 di Malaysia," katanya.

Vui Keong berkata, pelbagai sektor dan pihak seperti sektor kewangan dan telekomunikasi, agensi pelaporan kredit, firma guaman, firma kesetiausahaan syarikat dan agensi penguatkuasaan undang-undang sangat bergantung kepada maklumat dan dokumen yang disediakan oleh SSM untuk menjalankan perniagaan mereka dan melakukan pelbagai siasatan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, SSM dan kerajaan Persekutuan perlu sedar bahawa pendaftaran oleh SSM adalah sangat penting bagi tujuan melakukan proses 'due diligence' dan proses pengesahan entiti perniagaan oleh kedua-dua sektor swasta dan awam.

Sebagai contoh, katanya, institusi-institusi kewangan sangat bergantung kepada maklumat daripada SSM untuk melakukan 'due diligence' dan pengesahan entiti semasa proses pembukaan akaun bank perniagaan dan dalam memberikan pinjaman perniagaan.

"Bagaimana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat meneruskan proses pendaftaran serta memohon pembiayaan daripada institusi kerajaan ataupun swasta apabila perkhidmatan atas talian SSM dihentikan?

"Soalan-soalan seperti ini perlu dijawab oleh SSM dan kerajaan Persekutuan baharu. Saya tidak dapat melihat atau memahami tujuan SSM dalam menghentikan perkhidmatan atas taliannya pada saat negara dilanda krisis seperti ini," katanya.

Ahli Parlimen Batu Sapi itu berkata, penggantungan itu memburukkan lagi keadaan sedia ada dan akan menyebabkan ekonomi serta operasi perniagaan di sekitar negara merosot lebih lagi.

Menurutnya, keputusan juga berkemungkinan menghalang penyiasatan agensi penguatkuasaan undang-undang seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memerlukan maklumat daripada SSM.

"Oleh itu saya menyeru kepada SSM dan kerajaan Persekutuan untuk segera menyemak keputusan untuk menghentikan perkhidmatan atas talian SSM," katanya.