Dah beri cadangan nak apa dalam Belanjawan 2026?

BELANJAWAN 2026 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober depan dengan pendekatan pragmatik yang menangani cabaran semasa dan ketidaktentuan geopolitik.
Kementerian Kewangan sudah pun membuka Portal Cadangan Belanjawan 2026 di laman web rasminya bagi mengumpulkan pandangan, idea dan cadangan daripada setiap lapisan masyarakat.
Semua rakyat Malaysia dipelawa bagi cadangan. Ia jemputan rasmi untuk kita - rakyat biasa, peniaga kecil, petani, tok penghulu, cikgu, pelajar universiti atau suri rumah. Mudah cerita, sesiapa pun boleh menyuarakan pandangan.
Merak Jalanan melihat inisiatif ini sebagai langkah progresif ke arah belanjawan yang benar-benar dari rakyat untuk rakyat. Kerajaan mahu dengar keluh kesah rakyat secara terus. Tidak lagi sekadar mengharapkan kajian semata-mata, sebaliknya mengambil kira suara di lapangan yang hidup bersama realiti seharian.
Portal ini pintu terus kepada pembuat dasar. Inilah peluang nak cakap apa yang kita rasa perlu ada dalam Belanjawan 2026. Nak lebih peruntukan untuk sekolah luar bandar? Hantarlah cadangan. Nak lebih bajet untuk kesihatan atau infrastruktur? Tulislah. Nak insentif untuk petani, peniaga kecil atau pekerja gig? Pun boleh.
Tapi ingat, hantarlah cadangan yang masuk akal dan praktikal. Berikan idea yang realistik, membina dan berasaskan fakta agar kementerian dapat mempertimbangkan dengan serius.
Jangan nanti bila belanjawan dah dibentangkan, bising banyak kelemahan. Kalau masih merungut tanpa pernah cadang, itu memang salah sendiri.
Jadi, kalau kita nak Belanjawan 2026 mesra rakyat, rakyatlah kena sama-sama bentuk. Kita biasa melihat peti cadangan di pejabat kerajaan yang kekal menjadi hiasan tanpa diisi. Kali ini jangan begitu.
Kalau tak, bersedialah untuk dengar pengumuman belanjawan nanti kemudian mengeluh, “Orang ini dapat itu, orang itu dapat ini, apa yang kita dapat?”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
