Hannah kecam serangan anak Rafizi, desak siasatan segera

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kejadian serangan anak kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara seperti Malaysia yang aman, mempunyai undang-undang dan penguatkuasaan yang efisien.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan segera dan memastikan keselamatan awam terus terjamin.
“Jangan beri ruang kepada pelanggaran undang-undang atau peluang. Saya amat sedih apabila mendapat berita tentang insiden serangan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi hari ini.
“Tiada sesiapa, apatah lagi seorang kanak-kanak, wajar menjadi mangsa keganasan.
“Kepada Rafizi dan keluarga, saya mendoakan keselamatan serta kesembuhan anak beliau dan agar keluarga ini terus diberi kekuatan menghadapi dugaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sementara itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Danish Hairudin mengecam sekeras-kerasnya serangan tersebut yang didakwa sebagai tindakan melampau jika bermotifkan politik.
Menurutnya, menyakiti seorang kanak-kanak merupakan perbuatan yang paling hina, pengecut dan langsung tidak bermoral.
"Berbeza pandangan mahupun ideologi politik bukan asbab untuk bertindak tidak berperikemanusiaan dan di luar norma sebagai manusia bertamadun.
"Sekiranya tindakan ini bermotifkan politik, ini membuktikan wujudnya budaya politik melampau yang meracuni minda segelintir pihak sehingga sanggup menggadai nilai kemanusiaan demi membalas dendam politik.
"Saya menegaskan, politik kebencian seperti ini mesti ditolak mentah-mentah oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira parti atau fahaman," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sehubungan itu, Danish mendesak pihak berkuasa untuk segera menjalankan siasatan menyeluruh, mengheret pelaku ke muka pengadilan dan memastikan keadilan ditegakkan.
"Keselamatan setiap anak tanpa mengira latar belakang keluarga mesti menjadi keutamaan. Semua pihak perlu kembali kepada politik yang sihat, berlandaskan hujah dan idea bukan politik ganas yang menakut-nakutkan rakyat.
"Serangan terhadap kanak-kanak dan ahli keluarga adalah garis merah yang tidak boleh dilintasi dalam mana-mana budaya berpolitik," katanya.
Sebelum ini, anak Rafizi diserang dengan cara diheret dan disuntik menggunakan jarum suntikan di pusat beli-belah di Putrajaya sekitar jam 1.45 petang Rabu.
Rafizi berkata, kejadian berlaku ketika beliau, isteri dan anaknya mahu memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah berkenaan.
Menurutnya, serangan tersebut melibatkan dua orang lelaki yang berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka sepenuhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

