Putin hubungi Jong Un bincang kerjasama strategik sebelum bertemu Trump

MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin menghubungi pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un untuk memaklumkan tentang perbincangan bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Alaska minggu ini, menurut Kremlin.
Agensi Berita Rasmi Korea Utara, (KCNA) kemudiannya melaporkan mengenai panggilan telefon kedua-dua pemimpin itu tanpa menyebut pertemuan yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat antara Putin dan Trump.
Jong Un dan Putin juga membincangkan perkembangan hubungan kedua-dua negara di bawah perjanjian perkongsian strategik yang ditandatangani tahun lalu, sekali gus mengesahkan hasrat mereka untuk mengukuhkan kerjasama pada masa depan.
Putin turut menyatakan penghargaan terhadap Korea Utara kerana membantu 'membebaskan' wilayah Kursk di barat Rusia dalam peperangan menentang Ukraine selain memuji keberanian dan pengorbanan anggota Tentera Rakyat Korea,” kata KCNA pada Selasa.
Difahamkan, Korea Utara sudah menghantar lebih 10,000 anggota tentera untuk menyokong kempen Rusia di wilayah barat negara itu susulan konflik dengan Ukraine.
Korea Utara dipercayai merancang untuk menghantar lagi bantuan ketenteraan, menurut penilaian perisikan Korea Selatan. - AGENSI.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

