MUFT sedia berdepan ujian berganda di MBPJ

PENGENDALI Malaysian University Football Team (MUFT), Mohd Yazli Yahya mengakui berdepan cabaran besar apabila skuad Liga A1 Semi-Pro itu terpaksa bertandang dua kali ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menentang finalis Piala FA musim lalu, Selangor FC dalam saingan Pusingan 16.
Perlawanan pertama yang sepatutnya berlangsung di Stadium USIM, Nilai pada 16 Ogos terpaksa dipindahkan ke MBPJ selepas gelanggang berkenaan tidak memenuhi piawaian ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
MUFT dan sebuah lagi kelab Liga A1 Semi-Pro, UM Damansara United yang berdepan penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) turut mengemukakan permohonan pertukaran venue pusingan 16 Piala FA kepada MFL.
“Memang tugas mencabar untuk menentang Selangor, pasukan gergasi Lembah Klang.
"Namun, kami mahu mempamerkan permainan yang baik dan itu memerlukan padang yang lebih berkualiti berbanding di Stadium USIM.
“Ini juga satu pengalaman berharga untuk semua pemain kerana beraksi menentang kelab Liga Super di depan penyokong lawan yang besar. Jadi kami perlu lebih bersedia,” katanya.
Sebagai rekod, MUFT kini menduduki tangga tercorot Liga A1 Semi-Pro selepas mengharungi dua perlawanan bermula dengan tewas 0-1 kepada Kelantan WTS diikuti 0-3 kepada Selangor FC II.
PIALA FA 2025/26
PUSINGAN 16
SABTU (16 OGOS)
UM Damansara United lwn Johor Darul Ta'zim
(Stdm Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, 8.15 malam)
Malaysian University Football Team lwn Selangor FC
(Stdm Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Petaling Jaya, 5 petang)
DPMM FC lwn Kuching City FC
(Stdm Negara Hassanal Bolkiah, 8.15 malam)
AHAD (17 OGOS)
Imigresen FC lwn Terengganu FC
(Stdm Negeri Pulau Pinang, 5 petang)
Bunga Raya FC lwn Sabah FC
(Stdm Tuanku Abdul Rahman, 4.45 petang)
Melaka FC lwn Penang FC
(Stdm Hang Jebat, 9 malam)
ISNIN (18 OGOS)
Negeri Sembilan FC lwn PDRM FC
(Stdm Tuanku Abdul Rahman, 9 malam)
Kelantan The Real Warriors FC lwn Kuala Lumpur City FC
(Stdm Sultan Muhammad IV, 9 malam)
* Tarikh, venue, masa tertakluk pindaan Liga Bolasepak Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
