Ibu mentua membebel menantu ambil masa lama bersalin

JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia bukan sahaja menanggung kesakitan ketika bersalin, malah terpaksa mendengar bebelan ibu mentua yang tidak puas hati kerana proses kelahirannya mengambil masa terlalu lama.
Video insiden yang tular di Instagram @makassar_iinfo pada 1 Ogos itu meraih 1.8 juta tontonan dan mengundang kecaman warganet.
Kejadian dipercayai berlaku di sebuah hospital di Sulawesi Tenggara, lapor Tribun News.
Dalam rakaman berkenaan, wanita itu kelihatan terbaring di katil hospital sambil dibantu dua bidan.
Dalam keadaan termengah-mengah, dia menangis sambil berkata: “Saya tak sanggup lagi. Saya mungkin mati.”
Salah seorang bidan cuba menenangkannya, namun ibu mentua tiba-tiba mencelah dengan berkata: “Kamu ingat kamu seorang saja yang penat? Kami pun penat tunggu tiga hari empat malam. Suami kamu pun penat!”, katanya.
Lebih mengejutkan, ibu mentua itu turut berkata: “Kalau nak mati, matilah! Tapi lahirkan anak itu dulu!” tambahnya.
Situasi itu membuatkan bidan menegurnya supaya memberi semangat, namun wanita tersebut tetap meneruskan bebelannya sambil menyuruh menantunya mengawal pernafasan.
Rata-rata warganet meluahkan kemarahan terhadap sikap ibu mentua tersebut yang disifatkan tidak berperikemanusiaan.
Segelintir yang berkata keletihan suami tidak setimpal dengan nyawa isteri yang berisiko ketika melahirkan anak.
Tidak kurang juga yang mempersoalkan mengapa suami wanita itu tidak mempertahankan isterinya.
Ada yang memuji kesabaran bidan tersebut, namun berpendapat ibu mentua berkenaan sepatutnya dihalau keluar dari bilik bersalin.
Sesetengah pengguna media sosial turut menasihatkan agar wanita itu pulang ke rumah ibu bapanya selepas bersalin, bimbang dia berisiko mengalami kemurungan selepas bersalin akibat tekanan daripada ibu mentua. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
