Remaja didakwa terlibat kes buli akan dihadap ke mahkamah

SUNGAI PETANI – Remaja yang disyaki terlibat dalam kes buli di sebuah sekolah menengah di daerah ini akan dihadapkan ke mahkamah pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, remaja berkenaan telahpun diambil keterangan sebelum ini dan dibebaskan dengan jaminan polis.
"Pendakwaan akan dilakukan di Mahkamah Majistret Sungai Petani pada 13 Ogos ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu di sebuah sekolah menengah di sini dipercayai menjadi mangsa buli oleh rakan sekolahnya.
Remaja berusia 13 tahun itu ditemukan dalam keadaan tangan dan kaki diikat menggunakan tali leher serta mulut ditutup dengan sapu tangan.
Kejadian itu dipercayai berlaku di tandas sekolah berkenaan.
Difahamkan, insiden tersebut disedari ibu mangsa yang menunggu di luar sekolah selepas mendapati anaknya tidak keluar dari sekolah seperti biasa selepas tamat waktu persekolahan pada jam 6.30 petang.
Pencarian ibu mangsa yang dibantu oleh pengawal keselamatan sekitar sekolah akhirnya menemui mangsa dalam keadaan diikat di tandas.
Dalam perkembangan lain, Hanyan berkata, satu lagi kes buli di sebuah sekolah lain di daerah ini juga akan dihadapkan ke mahkamah pada Rabu.
Dalam kes berkenaan, seorang pelajar lelaki tingkatan tiga cedera pada mata selepas disyaki ditumbuk di sekolah.
Kejadian tersebut disedari bapa pelajar tingkatan tiga itu selepas dihubungi guru yang meminta untuk mengambil anaknya dari sekolah pada jam 12.30 tengah hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

