[VIDEO] KPT perluas pemasangan CCTV di kampus universiti awam tangani kes buli
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melakukan penambahbaikan sistem keselamatan kampus melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) secara lebih meluas bagi menangani isu buli serta mempertingkatkan keselamatan dan kesejahteraan pelajar di semua universiti awam.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, peluasan pemasangan CCTV itu merupakan salah satu daripada enam langkah diambil pihak kementerian.
Menurutnya, KPT juga menerapkan budaya sifar toleransi terhadap buli dan memperkenalkan mekanisme sistem pelaporan kes buli.
“Langkah keempat adalah pelaksanaan program kesedaran dan pendidikan buli, manakala langkah kelima memberi penekanan terhadap pembinaan sahsiah, etika dan latihan kepimpinan bagi menyokong kemenjadian mahasiswa yang lebih positif.
“Langkah keenam pula melibatkan penetapan prosedur operasi standard (SOP) dan pembangunan garis panduan pengurusan salah laku buli,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN–Alor Setar) yang meminta penjelasan mengenai langkah diambil KPT untuk mengekang kejadian buli di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA & IPTS).

Zambry berkata, KPT sedang meneliti kaedah dan amalan terbaik selain mengkaji semula dasar sedia ada bagi menambah baik prosedur serta mekanisme menangani isu disiplin pelajar, khususnya gejala buli, dengan lebih berkesan.
Tambahnya, statistik bagi tempoh 11 tahun, dari 2014 hingga 2025, mencatatkan 31 kes buli dilaporkan berlaku di lapan universiti awam, dan tindakan telah diambil di peringkat pengurusan universiti masing-masing.
“Kes berlaku dalam bentuk buli fizikal dan buli siber, yang boleh berpunca daripada faktor sosial, psikologi, persekitaran kampus, pengaruh media sosial, dan kurangnya pengawasan daripada ibu bapa.
“Dalam konteks universiti awam, sekiranya pelajar terlibat dalam kes buli, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan 3(1)(a)(ii) Kaedah-Kaedah (Tatatertib Pelajar) yang telah diseragamkan melalui pindaan pada 2024,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, kaedah tersebut memperuntukkan hukuman berdasarkan tahap keseriusan kesalahan. Pelajar yang didapati bersalah atas kesalahan buli boleh dikenakan satu atau gabungan dua atau lebih hukuman yang sesuai, termasuk dibuang universiti.
“Bagi IPTS pula, Seksyen 33 Akta IPTS 1996 (Akta 555) memperuntukkan secara jelas tanggungjawab Ketua Eksekutif dalam menjalankan penyeliaan am, termasuk kebajikan dan disiplin di institusi berkenaan, yang meliputi usaha pencegahan dan pengendalian kes buli secara menyeluruh.
“Kementerian tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk buli atau kekerasan di institusi pendidikan tinggi di bawah seliaannya. KPT tidak akan melindungi pelaku dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan secara telus dan profesional bagi setiap kes buli yang dilaporkan.
“KPT juga komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar di kampus sentiasa terpelihara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

