Ibu meninggal dunia dalam perjalanan ke program agama

Ibrahim (kanan) ditemui ketika pengebumian jenazah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kariah Pulau Sepom.
Ibrahim (kanan) ditemui ketika pengebumian jenazah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kariah Pulau Sepom.
A
A
A

SUNGAI PETANI - "Ibu nampak ceria sehari sebelum kejadian, tak sangka ia perjumpaan terakhir kami bertiga".

Demikian luahan anak bongsu mangsa maut kemalangan, Ibrahim Khairul Anuar, 25, mengenai kejadian menimpa ibunya, Fazilah Omar, 52.

Dalam kejadian itu, Fazilah yang memandu kenderaan bagi menghadiri sebuah majlis agama di Baling, meninggal dunia selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan dengan sebuah kereta lain di Kampung Rambong, Baling, pada Ahad.

Ibrahim yang sedang mengikuti pengajian di sebuah pondok di Sungai Dua berkata, ibunya kelihatan ceria semasa mereka menziarahi abangnya, Mohd Azim, 26, di sebuah madrasah di Penanti, Bukit Mertajam pada Sabtu.

"Ibu masak makanan dan kami makan bersama tiga beranak, nampak dia ceria tetapi dalam masa sama sering memberitahu teringatkan arwah bapa yang sudahpun meninggal dunia 14 tahun lalu," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kariah Pulau Sepom, Tikam Batu di sini pada Isnin.

Menurut Ibrahim, ibunya sentiasa ringan tulang selain disenangi rakan dan diakui seorang yang cermat ketika memandu.

"Selalunya ibu suka bawa kereta perlahan-lahan sahaja dan tidak terlalu tergesa-gesa, saya terkejut bila dapat tahu ibu terlibat kemalangan," katanya.

Bercerita lanjut, ibunya sering mengikuti pengajian agama bersama kenalan dan sempat memberitahu mereka dua beradik bahawa mahu menghadiri sebuah majlis di Baling.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, rakan arwah yang mahu dikenali sebagai Salbiah berkata, Fazilah gemar menghadiri majlis agama serta disenangi ramai kawan.

"Apa yang kami sedar sejak kebelakangan ini, arwah suka mengingatkan tentang kematian kepada kami.

"Dia juga sering mengadu rindukan arwah suami yang sudah lama meninggal dunia," ujarnya.

Dalam kemalangan yang berlaku pada jam kira-kira 5.35 petang itu, Fazilah maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi rakannya dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Baling pada Isnin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!