'Tak sangka PM singgah ke gerai saya' - Hajat Amir Raja Lawak bertemu PM termakbul

Amir Raja Lawak bersyukur apabila hajatnya untuk bertemu Perdana Menteri termakbul dan hadir sama ialah Mohd Nassuruddin di kedai ayam goreng miliknya yang terletak di Medan Selera Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Sabtu.
Amir Raja Lawak bersyukur apabila hajatnya untuk bertemu Perdana Menteri termakbul dan hadir sama ialah Mohd Nassuruddin di kedai ayam goreng miliknya yang terletak di Medan Selera Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU – Pelawak, Mohamad Amirullah Azmi, 36, atau lebih dikenali sebagai Amir Raja Lawak, bersyukur apabila hajatnya untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim termakbul.

Lebih mengejutkan, bukan sahaja Anwar malah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud turut singgah di premis perniagaannya di Medan Selera Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Sabtu.

Menurut Amir, luahan di Facebook itu dibuat sekadar mencuba nasib dan bersifat gurauan memandangkan beliau maklum kesibukan pemimpin nombor satu negara itu yang hadir ke Kelantan dua hari bermula Jumaat.

"Dalam luahan itu, saya cuma ceritakan keadaan saya sekarang dan bertanya, khabarnya ada Program Madani Rakyat di stadium, program itu di sebelah kedai saya dan boleh tak PM singgah ke kedai saya.

"Alhamdulillah, tak sangka pula beliau (Perdana Menteri) singgah. Ingatkan beliau sahaja, rupa-rupanya dua orang besar (PM dan Menteri Besar) sekali," katanya kepada pemberita.

Amir tidak menyangka Anwar mengikuti isu yang menimpa dirinya, malah kedua-dua pemimpin turut memberi kata semangat dan sumbangan tunai.

Menyentuh isu tuntutan gaji tertunggak, beliau menjelaskan ia bukan soal jumlah semata-mata, tetapi keperluan untuk bersedia menghadapi apa jua perkembangan kesihatan bapanya, Azmi Deris, 60-an, yang menghidap kanser usus tahap empat.

Ujarnya, tuntutan gaji tertunggak sebanyak RM18,000 itu bukannya untuk bersuka-suka.

Menurut beliau, ramai cadangkannya membuka tabung sumbangan.

Artikel Berkaitan:

"Saya bukan orang macam itu. Saya ada tenaga, lelaki dan bekerja.

"Saya hanya minta hak saya. Saya rasa masih ada sinar dalam tuntutan tersebut kerana berkat orang tua. Saya mahu bantu keluarga, bukan untuk berfoya-foya," katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan berdepan saman daripada Awesome TV, ujar Amir, ia bergantung kepada keadaan dan enggan mengulas kenyataan rakan pelawak, Shahrul Shiro mengenai isu itu di aplikasi Thread.

Tambahnya, tumpuan kini diberikan kepada bapanya yang sepatutnya menjalani pembedahan kali kedua pada Sabtu.

"Setakat semalam, keadaan ayah masih stabil. Saya belum mendapat perkembangan terkini kerana belum dimaklumkan keluarga," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!