Ibu pengsan empat kali terima berita dua anak dan dua cucu maut nahas

Shahima (kanan) ditenangkan ahli keluarga di Bilik Mayat Hospital Gua Musang pada Isnin.
Shahima (kanan) ditenangkan ahli keluarga di Bilik Mayat Hospital Gua Musang pada Isnin.
A
A
A

GUA MUSANG – Ibu kepada mangsa kemalangan maut pengsan sebanyak empat kali selepas menerima berita dua anak dan dua cucunya terkorban dalam kejadian membabitkan kereta dengan sebuah treler di Kilometer 33, Jalan Gua Musang–Kuala Krai berdekatan Felda Chiku 1 di sini pada Isnin.

Shahima Hamid, 54, rebah dan pengsan sebaik dimaklumkan mengenai pemergian anak keduanya, Muhammad Faiz Nor Amran, 32; anak kelima yang juga anak perempuan tunggal keluarga itu, Nor Aina Imra, 21, serta dua cucu, Muhammad Aryan Fattah Abdul Qayyum, 5, dan Muhammad Aydan Fattah, 4.

Menantunya yang juga isteri Muhammad Faiz, Tuan Nor Syuhada Mohd Zain, 23, yang memandu kereta itu pula mengalami kecederaan parah.

Muhammad Faiz (kiri), Muhammad Aryan Fattah Abdul Qayyum (dua dari kiri) dan Muhammad Aydan Fattah (dua dari kanan) yang maut manakala Tuan Nor Syuhada (kanan) parah serta dirawat di hospital.
Muhammad Faiz (kiri), Muhammad Aryan Fattah Abdul Qayyum (dua dari kiri) dan Muhammad Aydan Fattah (dua dari kanan) yang maut manakala Tuan Nor Syuhada (kanan) parah serta dirawat di hospital.

Suami Shahima, Nor Amran Mat Nor, 58, berkata, anak kedua mereka itu bukan sahaja menjadi abang dalam keluarga, malah tempat bergantung adik-beradik lain kerana sifatnya yang penyayang dan sentiasa membantu.

“Isteri saya pengsan tiga kali selepas tahu berita dan sekali lagi ketika buat pengecaman mayat. Dia memang sangat rapat dengan anak-anak kami.

Nor Aina Imra meninggal dunia dalam nahas terbabit.
Nor Aina Imra meninggal dunia dalam nahas terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Muhammad Faiz pula walaupun sudah berkeluarga, dia selalu bawa adik-adik keluar jalan-jalan dan jadi penghubung yang eratkan hubungan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Gua Musang di sini pada Isnin.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, keempat-empat mangsa maut di lokasi kejadian selepas kereta jenis dinaiki mereka terbabas dan bertembung dengan treler.

Mereka ketika itu dalam perjalanan pulang ke Pasir Mas selepas menghadiri Himpunan Pemilik Kereta Honda di Sepang, Selangor dan menziarahi ibu saudara di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Menurut Nor Amran, Muhammad Faiz bekerja sebagai pengangkut barang manakala isterinya menjalankan perniagaan dalam talian dan tinggal bersama keluarga di Pasir Mas.

Shahima (kanan) bersama Nor Amran (kiri) menunggu proses bedah siasat di bilik mayat Hospital Gua Musang.
Shahima (kanan) bersama Nor Amran (kiri) menunggu proses bedah siasat di bilik mayat Hospital Gua Musang.

“Ini kehendak ALLAH, saya reda kerana ALLAH lebih sayangkan mereka dan yakin ada aturan ALLAH yang lebih baik,” ujarnya.

Sementara itu, adik keempat arwah Muhammad Faiz, Muhammad Fakris Nor Amran, 23, yang sedang bercuti semester tahun kedua pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, dia sempat menghubungi Nor Aina Imra juga penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) pada jam 7.40 pagi.

“Selepas itu, ibu pula pula bercakap dengan abang melalui telefon.

“Dalam setengah jam kemudian, kami dapat berita mereka kemalangan,” katanya.

Salah satu jenazah tiba di bilik mayat di Hospital Gua Musang.
Salah satu jenazah tiba di bilik mayat di Hospital Gua Musang.

Muhammad Fakris berkata, tiga hari lepas, dia mengajak Nor Aina Imra yang juga sedang bercuti semester untuk makan mi celup tetapi perasan perubahannya tidak selera makan dan hanya memesan mi segera telur rebus.

“Saya juga tempah gelanggang untuk bermain badminton bersamanya pada Jumaat malam tetapi dia tidak mahu dan ingin mengikut abang kedua ke Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya, kesemua jenazah dijangka dibawa pulang ke kampung halaman dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Tok La, Pasir Mas selepas selesai bedah siasat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!