Bekas pembantu ahli Parlimen ditahan muat naik video tanpa kebenaran

Mohd Azam
Mohd Azam
A
A
A

AMPANG – Seorang bekas pembantu peribadi kepada seorang Ahli Parlimen ditahan kerana disyaki memuat naik video tanpa kebenaran di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pengadu menyedari perbuatan seorang lelaki berusia 43 tahun itu pada 30 Julai lalu selepas melihat hantaran video terbabit yang dimuat naik di Facebook.

"Suspek secara terang-terangan menyebut nama pengadu di hantaran terbabit yang berunsur jahat dan mendedahkan mangsa kepada kemudaratan atau ancaman terbuka.

"Kesan hantaran tersebut menyebabkan komen kecaman dibuat oleh pengguna Facebook yang lain dan komen negatif sehingga memberi tekanan, memudaratkan minda, reputasi serta psikologi pengadu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Azam berkata, pengadu berasa terancam dan ketakutan sekiranya perkara buruk berlaku kepadanya akibat tindakan pemilik akaun Facebook itu.

"Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Ampang Jaya berjaya menahan suspek di Pasir Mas, Kelantan pada 11.30 pagi Jumaat.

"Kita merampas dua telefon bimbit jenis Samsung Galaxy dan Vivo untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.

"Suspek direman empat hari bermula Sabtu hingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!