Fitnah dan khabar angin yang bawa bencana

SEBAGAI sebuah negara bangsa yang memiliki sejarah diplomasi yang unggul, masyarakat kita tidak pernah sunyi daripada memberi pandangan, kritikan, dan wacana terhadap pelbagai isu.
Dalam era komunikasi tanpa sempadan, keupayaan menyuarakan pendapat secara terbuka adalah antara tanda kematangan demokrasi.
Kritikan yang dibina atas asas fakta dan niat yang murni wajar diraikan kerana ia menjadi pendekatan konstruktif untuk menambah baik sesuatu perkara, termasuk prestasi institusi berkaitan dengan kepentingan rakyat.
Namun, dalam meraikan keterbukaan tersebut, kita perlu sedar bahawa kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab. Ketika mengemukakan kritikan, kita perlu berhati-hati agar tidak terjerumus hingga membuat tuduhan palsu atau kenyataan yang tidak berasaskan bukti.
Kita juga harus menghindarkan diri daripada terperangkap dengan agenda peribadi pihak tertentu yang mungkin mengambil kesempatan menangguk di air keruh demi kepentingan tersembunyi.
Kejadian seorang pelajar asrama yang ditemui tidak sedarkan diri di bangunan berhampiran asrama sebuah sekolah telah menggoncang hati masyarakat seluruh negara.
Kes yang mendapat liputan meluas di media sosial menjadi contoh jelas bagaimana isu sensitif mendapat perhatian masyarakat.
Buli adalah sesuatu yang perlu ditolak sepenuhnya dan kritikan bagi menggesa kesalahan jenayah tersebut tidak disembunyikan adalah wajar sekiranya ia benar-benar berlaku.
Media sosial telah menjadi saluran utama bagi masyarakat untuk menyuarakan keprihatinan, menyatakan solidariti kepada mangsa dan menuntut ketelusan.
Walau bagaimanapun, dalam semangat membela dan menuntut keadilan, kita tidak boleh mengabaikan etika dalam berkomunikasi.
Kritikan yang berasaskan sangkaan atau khabar angin berpotensi menimbulkan kesan negatif, termasuk fitnah, tuduhan palsu atau malah buli siber terhadap individu tertentu.
Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada pihak yang dikritik, tetapi juga boleh mengganggu kelancaran siasatan.
Pihak berkuasa yang sepatutnya memberi tumpuan penuh kepada proses mencari kebenaran mungkin terganggu fokus mereka hingga terpaksa memberi perhatian untuk menangani persepsi awam yang terbentuk akibat maklumat tidak sahih.
Dalam hal ini, adalah penting untuk kita sebagai masyarakat memberikan kepercayaan penuh kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan secara profesional, di samping mengekalkan hak untuk memantau perkembangan kes dan menyuarakan pandangan secara beretika.
Proses perundangan mempunyai prosedur yang perlu dipatuhi demi memastikan keadilan dapat ditegakkan untuk semua pihak, khususnya mangsa dan keluarga.
Kesabaran dalam menunggu hasil siasatan adalah sebahagian daripada sokongan moral yang boleh kita berikan, selain mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan integriti proses tersebut.
Sehubungan itu, kritikan dan pendapat membina perlu terus diraikan sebagai salah satu mekanisme semak dan imbang dalam masyarakat.
Namun, ia perlu disampaikan dengan penuh etika, berdasarkan fakta yang sahih dan semestinya dalam batas undang-undang.
Dengan cara ini, kita bukan sahaja dapat memastikan keadilan ditegakkan, tetapi juga memelihara maruah semua pihak yang terlibat.
*Nurul Qistina Zafri ialah pelajar tahun akhir Komunikasi Massa Universi Poly-Tech Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
