Kes Zara Qairina: Peguam nafi ‘tangan ghaib’, bedah siasat telus

Shahlan Jufri
Shahlan Jufri
A
A
A

KOTA KINABALU – Peguam yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menegaskan bahawa proses bedah siasat terhadap jasad pelajar Tingkatan Satu itu dijalankan secara telus tanpa sebarang campur tangan luar atau ‘tangan ghaib’ seperti yang didakwa di media sosial.

Shahlan Jufri berkata, beliau sendiri menyaksikan keseluruhan proses selama lebih lapan jam di bilik bedah siasat bersama pasukan forensik yang terdiri daripada empat doktor pakar, anggota polis serta jurugambar.

“Perjalanan bedah siasat sangat baik. Tidak ada unsur-unsur seperti yang disebut di media sosial, tiada tangan ghaib. Saya sendiri lihat bagaimana arwah diperiksa sehingga selesai termasuk pemeriksaan organ dalaman.

"Saya berada di situ dari jam 11 pagi sehingga 7.30 malam. Terdapat sekitar tujuh hingga lapan orang dalam bilik bedah siasat, pakar, polis dan saya sendiri. Saya boleh katakan proses berjalan dengan telus,” katanya.

Shahlan turut menjelaskan bahawa tiada sebarang orang kenamaan (VVIP) memasuki bilik bedah siasat.

“Memang tiada. Yang ada hanya wakil keluarga, doktor dan pihak polis,” tegasnya.

Menurutnya, rekod pemeriksaan telah dibuat untuk rujukan, namun butiran kecederaan tidak dapat didedahkan kerana kes masih dalam siasatan.

“Laporan bedah siasat adalah dokumen sulit dan bukan untuk umum. Ia hanya boleh didedahkan di mahkamah sekiranya ada inkues,” jelasnya.

Shahlan turut memberi bayangan bahawa proses inkues mungkin akan dimohon selepas siasatan kes ini selesai.

Artikel Berkaitan:

“Selepas ini, saya akan berbincang dengan ahli keluarga dan pasukan peguam mengenai langkah seterusnya. Kemungkinan besar kami akan mohon inkues,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!