Sultan Pahang titah solat hajat seluruh negeri demi keadilan Zara Qairina

Tangkap layar kenyataan di Facebook Kesultanan Pahang.
Tangkap layar kenyataan di Facebook Kesultanan Pahang.
A
A
A

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar semua masjid dan surau di negeri ini melaksanakan solat hajat khas.

Kesultanan Pahang melalui kenyataan di Facebook memaklumkan, solat hajat itu diadakan bagi memohon agar urusan proses keadilan Allahyarhamah adik Zara Qairina Mahathir dipermudahkan dan kebenaran dapat ditegakkan.

Dalam kenyataan tersebut, Al-Sultan Abdullah turut menyampaikan doa agar ibu bapa serta keluarga Allahyarhamah dikurniakan ketabahan, kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan.

Dalam kejadian pada 16 Julai lalu, Zara Qairina dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama perempuan sebuah sekolah agama di Papar, Sabah.

Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu pada 17 Julai, sehari selepas kejadian.

Kes itu menarik perhatian ramai, khususnya di media sosial selepas dikaitkan dengan dakwaan wujud elemen buli di sekolah terbabit.

Jumaat lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan, mayat Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.

Kubur Allahyarhamah Zara Qairina telah digali semula pada Sabtu sebelum jenazahnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II, Sabah untuk tujuan bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!