Bas persiaran bawa 20 pelancong langgar dua kenderaan, rempuh tembok

KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Seramai 20 pelancong warga Vietnam berdepan detik cemas apabila bas persiaran yang dinaiki hilang kawalan dan melanggar dua kenderaan lain sebelum terbabas merempuh tembok di Kilometer 17, jalan turun dari Genting Highlands, Bentong, pada Ahad.
Dalam kemalangan yang dilaporkan pada jam 5.22 petang itu, semua penumpang bersama pemandu bas dan pemandu pelancong warga tempatan selamat.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pemandu kereta jenis Perodua Myvi yang terlibat cedera ringan manakala penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, pemandu dan penumpang teksi jenis Toyota Innova juga selamat.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 5.22 petang sebelum sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands ke lokasi untuk operasi menyelamat.
“Ketika tiba di lokasi, anggota mendapati berlaku kemalangan melibatkan bas persiaran, sebuah kereta dan sebuah teksi,” katanya.

Zulfadli berkata, bas yang dalam perjalanan dari Genting Highlands menghala turun ke Batu Caves, Selangor dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang kereta, menyebabkan kesemua kenderaan tersebut terbabas ke bahu jalan.
“Pihak bomba bertindak memastikan tiada mangsa yang tersepit, manakala mangsa yang cedera ringan dihantar orang awam ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
“Ekoran kejadian, berlaku kesesakan trafik di lokasi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar, mengesahkan kemalangan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

