Masalah brek, bas kilang bawa 29 penumpang terbabas

GEORGE TOWN – [DIKEMAS KINI] Enam pekerja kilang cedera ringan selepas bas yang mereka naiki terbabas di selekoh berbukit berhampiran Suria Vista Apartment, Jalan Paya Terubong di sini pagi Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.24 pagi itu, bas jenis Nissan yang membawa 29 pekerja dan seorang pemandu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dikatakan mengalami masalah pada sistem brek sebelum terbabas.
Menurutnya, kemalangan berlaku ketika bas dari arah Kampung Jawa menuju ke Paya Terubong.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong tiba di lokasi pada jam 7.34 pagi.
“Semua mangsa berjaya dikeluarkan dengan enam cedera ringan pada muka, tangan dan kaki, manakala 24 lagi selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, semua mangsa yang cedera diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi rawatan lanjut.
“Antara mangsa cedera berusia antara 22 hingga 26 tahun dan kesemuanya warga Indonesia.
“Operasi turut dibantu polis dan pegawai perubatan KKM sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.27 pagi selepas kerja pembersihan sisa kemalangan dilakukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

