30 motosikal disita, 67 saman dikeluarkan

Sebanyak 70 motosikal diperiksa dalam operasi berkenaan.
Sebanyak 70 motosikal diperiksa dalam operasi berkenaan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebanyak 67 saman dikeluarkan dalam Op Bersepadu Cecah Jenayah/Op Motosikal yang dijalankan di Taman Villa Natura di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, dalam op berkenaan sebanyak 30 buah motosikal disita akibat ditunggang remaja bawah umur, cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu dan ubah suai ekzos.

Menurutnya, polis menerima aduan dari orang awam memaklumkan bahawa kumpulan remaja terbabit menimbulkan kacau ganggu dan bising selepas melepak di kawasan berkenaan.

"Kita mengeluarkan sebanyak 67 saman merangkumi pelbagai kesalahan termasuk tidak memakai topi keledar (24), bawah umur 16 tahun (16), kesalahan membabitkan nombor pendaftaran (7), insuran (4) dan cukai jalan tamat tempoh (6).

"Selain itu, kesalahan membabitkan tiada lesen memandu (3), cermin sisi (6) dan aksesori tidak sempurna (1)," katanya.

Beliau berkata, operasi bermula 6.30 petang hingga 9.30 malam itu membabitkan seorang pegawai dan lima anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan enam Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM).

Jelasnya, secara keseluruhannya sebanyak 70 kenderaan diperiksa dalam operasi berkenaan.

Hanyan dalam masa sama menasihati ibu bapa agar sentiasa mengawasi anak remaja agar tidak terjebak dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang sekali gus berisiko mendatangkan kesan mudarat pada orang awam.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!