Protes bantah pelajar perempuan 14 tahun dibuli

BEIJING – Polis di barat daya China bertempur dengan penunjuk perasaan awal minggu lalu yang menuntut keadilan terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang menjadi mangsa buli rakan sekolahnya.
Kemarahan awam memuncak susulan tular video memaparkan sekumpulan remaja perempuan menyerang mangsa secara lisan dan fizikal dalam kejadian di Jiangyou, wilayah Sichuan.
Penduduk setempat mendakwa pihak berkuasa menutup mata dan sewenang-wenangnya melepaskan pembuli berkenaan.
Klip memaparkan protes yang turut ditapis pemerintah menunjukkan demonstrasi diadakan di Jiangyou sambil menyanyikan lagu kebangsaan dan sebahagiannya bergelut dengan anggota polis.
Sementara itu, pihak berkuasa di bandar tersebut mengesahkan kejadian buli itu berlaku pada 22 Julai lalu, melibatkan tiga penyerang berusia 13 hingga 15 tahun yang membuli mangsa dikenali sebagai Lai, 14, di sebuah bangunan kosong.
“Serangan itu menyebabkan beberapa kesan lebam pada tubuh Lai. Dua penyerang berkenaan telah dihantar ke sekolah khas untuk pendidikan pemulihan,” ujar jurucakap tanpa memberikan butiran jelas mengapa seorang lagi pelaku terlepas hukuman.
Di bawah undang-undang negara itu, sesiapa yang terlibat dalam pergaduhan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 hari dan denda 1,000 yuan (RM590).
Namun, pesalah juvana dikecualikan daripada tahanan dan sebaliknya dihantar ke pusat pemulihan.
Insiden itu turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan warganet yang kebanyakannya menuntut hukuman lebih tegas. – Agensi
Info:
>Tinjauan Pusat Penyelidikan Belia dan Kanak-kanak China, baru-baru ini mendapati lebih 50 peratus pelajar di negara itu mengalami buli di sekolah termasuk ugutan keganasan dan penderaan lisan.
>Isu buli kian mendapat perhatian selepas beberapa kes berprofil tinggi dilaporkan.
>Pada Januari lalu, protes ganas tercetus di wilayah Shaanxi selepas seorang remaja meninggal dunia di sebuah sekolah vokasional setelah terlibat pertengkaran lisan dan fizikal dengan pelajar lain. Penyiasat bagaimanapun menolak sebarang unsur jenayah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

