Tiga diberkas 'bawa' musang pandan, burung hantu hampir RM200,000

SHAH ALAM - Tiga individu diberkas dengan rampasan lima ekor burung hantu dan seekor musang pandan di Jalan Temoh Batu 3, Temoh di Perak pada Selasa lalu.
Operasi Op Bersepadu Khazanah pada jam 11.45 pagi itu dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM).
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, pasukan operasi telah menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux.
Menurutnya, tiga lelaki terdiri daripada seorang warga Indonesia dan dua tempatan berusia lingkungan 40 hingga 51 tahun telah ditahan.
"Pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui seekor musang pandan, dua ekor spotted wood owl, seekor barn owl, seekor buffy fish owl dan seekor sunda scop owl," katanya pada Ahad.
Tambahnya, nilai anggaran keseluruhan rampasan berjumlah RM195,000.
Jelasnya, rampasan dan suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk tindakan selanjutnya.
Rusley berkata, kes diserah kepada pegawai penyiasat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk disiasat mengikut Akta 716 Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
