Sotong, ketam agresif lonjak nama ‘Kakak Naga’

Tangkap layar video dimuat naik Kakak Naga sehingga mencuit hati warga maya. Foto TikTok @nurfaezahkhalid3
Tangkap layar video dimuat naik Kakak Naga sehingga mencuit hati warga maya. Foto TikTok @nurfaezahkhalid3
A
A
A

SHAH ALAM - “Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu,” demikian peribahasa yang boleh digambarkan apabila seorang peniaga TikTok tiba-tiba menjadi sorotan ramai hanya kerana mempromosikan mainan kanak-kanak.

Gelagatnya yang santai menjual mainan sotong, ketam, ‘capybara’ dan naga sambil menggoyangkan bahu cukup membuat wargamaya terhibur, secara tidak langsung melonjakkan nama Nurfaezah Khalid, 34.

Lebih dikenali dengan panggilan ‘Kakak Naga’, Nurfaezah akui rezeki yang diberikan ALLAH SWT tidak lambat atau cepat, tetapi tepat pada masanya meskipun sudah berniaga di TikTok sejak tiga tahun lalu.

“Sebelum ini saya meniaga produk biasa sahaja, kemudian cuba jual mainan kanak-kanak contohnya naga, sotong dan 'ketam agresif'. Tidaklah ramai ‘mata yang melihat’ tapi saya tetap konsisten.

“Baru-baru ini jumlah penonton sesi ‘live’ saya lebih 30,000 orang, saya pun terkejut dan tak sangka dengan penerimaan positif sebegini.

“Alhamdulillah, penonton terhibur, hasil jualan meningkat dan komisen yang saya dapat daripada TikTok pun tinggi. Tapi tidaklah hari-hari, baru-baru ini sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Kebelakangan ini, ‘Kakak Naga’ antara peniaga dalam talian yang meningkat naik namanya ekoran mempromosikan mainan kanak-kanak dengan cara penyampaian cukup mencuit hati.

Rata-rata sesi penstriman langsung dan video dimuat naik di TikTok mencapai lebih lima juta tontonan, malah difahamkan jumlah pengikut mencanak naik daripada hanya belasan ribu kepada 225,000 orang.

Nurfaezah berpendapat, penerimaan dan maklum balas positif daripada pengikut cukup memberikan kenangan manis buat dirinya serta keluarga.

Artikel Berkaitan:

Meskipun momen tular dan populariti tidak kekal selamanya, ibu kepada tiga cahaya mata tersebut bersyukur dengan nikmat sebentar yang diberikan ALLAH SWT.

“Walaupun dapat rasa dikenali sekejap sahaja, saya bersyukur sangat. Biarlah ia jadi kenangan buat kita semua.

“Tak mungkin saya akan dapat peluang sebegini lagi. Sementara masih ada, saya simpan momen-momen ini sampai bila-bila.

“Terima kasih juga kepada semua yang sentiasa menyokong,” ujar wanita asal Melaka itu.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!