Pesona Taj Mahal Malaysia

Bahagian luar Masjid Sri Sendayan disamakan dengan Taj Mahal.
Bahagian luar Masjid Sri Sendayan disamakan dengan Taj Mahal.
A
A
A

SEREMBAN - Mempesonakan! Cukup satu perkataan untuk menzahirkan keindahan reka bentuk Masjid Sri Sendayan di sini yang mula dibuka pada tahun 2019.

Masjid yang dibina melalui konsep wakaf ini dibina di kawasan berkeluasan 4.5 hektar dan mampu memuatkan sehingga 5,000 jemaah pada satu-satu masa.

Ia kini menjadi salah satu tarikan pelancong ke Negeri Sembilan bukan saja dalam kalangan beragama Islam, tetapi juga bukan Islam.

Senibina Masjid Sri Sendayan yang mempesonakan.
Senibina Masjid Sri Sendayan yang mempesonakan.

Ramai yang tertarik dengan seni binanya yang begitu indah sehingga ada yang menggelarnya sebagai Taj Mahal Malaysia.

Tidak hairanlah apabila masjid yang dibina dengan kos lebih RM100 juta ini tidak putus-putus dikunjungi dari pagi hingga malam bukan sekadar mahu datang beribadah, malah menyaksikan keindahannya.

Difahamkan, kebanyakan seni bina dalaman masjid ini ditempah khas termasuk ukiran kayu pada dinding di ruang solat, penggunaan saduran berwarna emas, tulisan khat serta penggunaan bongkah jubin sebagai dinding berhampiran mimbar.

Bahagian dalaman kubah utama pula dihiasi dengan cat emas 24k dan seni dalaman masjid ini menggabungkan elemen dari Mesir, Turki, Dubai, Maghribi dan China.

Artikel Berkaitan:

Malah masjid ini juga telah disenaraikan antara masjid tercantik di Malaysia dan ia semestinya menjadi satu kebanggaan untuk rakyat Negeri Sembilan.

Ketua Pengawal Keselamatan Masjid Sri Sendayan, Roslan Noran berkata, setiap hari dianggarkan lebih 5,000 pengunjung yang datang ke masjid berkenaan.

Malah katanya, pada cuti Aidilfitri dan Aidiladha, pengunjung terpaksa meletakkan kenderaan di bahu jalan kerana ruang parkir disediakan telah penuh.

Ruang mengambil wuduk di bahagian luar .
Ruang mengambil wuduk di bahagian luar .

“Orang datang bukan sekadar nak singgah solat, tapi datang untuk tengok keindahannya dan saya boleh katakan sejak masjid ini dibuka, orang tak putus-putus datang.

“Masjid ini dah jadi tempat pelancongan bukan saja tempatan tapi juga pelancong luar, termasuk bukan Islam yang kagum dengan seni binanya,” katanya.

Beliau berkata, suasana masjid sebenarnya lebih indah dipandang pada waktu malam terutama ketika matahari terbenam.

Senibina Masjid Sri Sendayan yang mempesonakan.
Senibina Masjid Sri Sendayan yang mempesonakan.

Ujarnya, ia dibuka dari jam 5 pagi hingga 10 malam dan turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk bilik kuliah, perpustakaan, dewan serba guna dan bilik pengurusan jenazah.

Sementara itu seorang pengunjung, Nur Aisyah Ismail, 32, berkata, sesiapa sahaja akan terpesona dengan keindahan masjid berkenaan.

“Saya bangga di negara kita ada masjid secantik ini dan kawan saya dari luar negara pun kagum melihatnya.

“Saya tinggal di Johor, tapi kalau balik ke rumah nenek di Port Dickson, saya akan singgah solat ke sini kerana rindu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!