Kualiti setanding, reka bentuk menarik dan moden

Dengan harga yang lebih kompetitif serta teknologi yang semakin canggih, motosikal China dilihat sebagai pencabar baharu kepada dominasi jenama Jepun seperti Honda, Yamaha, Kawasaki dan Suzuki.
Dengan harga yang lebih kompetitif serta teknologi yang semakin canggih, motosikal China dilihat sebagai pencabar baharu kepada dominasi jenama Jepun seperti Honda, Yamaha, Kawasaki dan Suzuki.
A
A
A

SHAH ALAM - Pasaran motosikal Malaysia semakin dipenuhi dengan kehadiran pelbagai model motosikal dari China.

Dengan harga yang lebih kompetitif serta teknologi yang semakin canggih, motosikal China dilihat sebagai pencabar baharu kepada dominasi jenama Jepun seperti Honda, Yamaha, Kawasaki dan Suzuki.

Namun, persoalan yang timbul ialah mengenai kualiti buatan dari negara itu berbanding dengan jenama yang sudah lama berada di pasaran.

Pada masa lalu, motosikal dari China sering dikaitkan dengan isu daya tahan jangka panjang serta masalah alat ganti yang sukar didapati.

Beberapa penganalisis tempatan berpendapat motosikal buatan China pada masa kini dilihat lebih berkualiti dan berbeza dengan produk yang dijual di Malaysia pada pertengahan tahun 2000.

Jadi pada pertengahan tahun 2000 hingga 2015, jenama motosikal dari China sememangnya masih dalam fasa membina kepercayaan pasaran.

Bagaimanapun, jenama dari Jepun seperti Honda dan Yamaha masih mendapat permintaan kerana resale value yang lebih tinggi kerana permintaan yang masih tinggi dan kepercayaan pengguna terhadap jenama tersebut sudah lama bertapak.

Bagi pakar automotif, Hezeri Samsuri mendedahkan, syarikat-syarikat pembuat motosikal dari China sudah sedar akan kelemahan mereka dan kini lebih memfokuskan penghasilan produk lebih berkualiti dan mempunyai daya ketahanan lebih efektif.

Jelas beliau, perubahan mentaliti syarikat-syarikat negara berkenaan itu sangat ketara, dapat dilihat dalam beberapa tahun ke belakangan ini berbanding 25 tahun dahulu.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ini kerana mereka sedar jika produk yang dipasarkan tidak lasak dan sering bermasalah melibatkan enjin, jenama itu tidak akan bertahan lama.

Menurutnya, syarikat automotif dan permotoran China sudah melaksanakan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta memantau secara konsisten tahap kualiti yang ada di dalam pasaran negara ini.

“Ciri utama yang menjadi tarikan pelanggan tempatan untuk membeli motosikal negara China adalah reka bentuk dan peralatan moden seperti skrin utama berwarna serta aksesori-aksesori menarik lain ditawarkan mereka.

“Dari segi keselamatan pula, produk itu selamat digunakan di atas jalan raya awam memandangkan semua kenderaan perlu mematuhi piawaian ditetapkan oleh kerajaan.

“Bagaimanapun, kualiti dan kelasakan produk adalah sesuatu yang kita boleh tahu selepas menggunakannya.

“Tidak dinafikan, ada beberapa produk dari China masih bergelut isu kualiti, tetapi isu sama turut terpakai pada produk negara lain.

“Ia adalah normal dan kerana itu produk ini diberikan jaminan,” katanya kepada Sinar Harian.

Hezeri berpendapat, transformasi produk keluaran China dan lambakan di pasaran sedikit sebanyak akan menjejaskan bisnes pengeluar tempatan sekiranya motosikal yang diimport dikenakan cukai lebih rendah.

“Dalam masa kita mahu berbaik dengan sesebuah negara, kita tidak boleh berikan semua insentif kepada negara luar.

“Apa akan jadi jika setiap produk datang dari satu negara sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pakar industri automotif, Shamsul Yunos berkata, terdapat berapa syarikat Malaysia yang membawa masuk jenama China dan membuka kilang pemasangan namun penguasaannya masih kecil iaitu kurang daripada 20 peratus.

Ujarnya, ini kerana pasaran motosikal Malaysia dikuasai dua jenama besar Jepun iaitu Yamaha dan Honda, diikuti Modenas yang bekerjasama dengan Kawasaki.

“Persepsi produk China kurang berkualiti masih menebal di kalangan pembeli di Malaysia biarpun banyak produk China dijual pada harga murah dan mampu milik.

“Cuma sekarang jenama China mula berani menawarkan harga lebih tinggi tapi masih lebih rendah berbanding jenama Jepun dan Eropah.

“Bila harga dah naik bolehlah naikkan kualiti, jadi sekarang kita dah mula nampak model motosikal berkualiti dari China,” ulasnya.

Beliau berpendapat, lazimnya jika perbezaan harga motosikal dari China sekitar 20 hingga 25 peratus dari Jepun, kualiti sesuatu produk itu boleh dipercayai.

“Selain itu, jenama China dilengkapi dengan ciri dan spesifikasi yang sangat moden.

“Contohnya meter digital sepenuhnya, lampu diod pemancar cahaya (LED), enjin moden, USB, sambungan Bluetooth dan sebagainya.

“Oleh itu, pengeluar tempatan tiada pilihan lain, kena tingkatkan usaha dan spesifikasi. Kekuatan jenama sahaja tak akan bertahan lama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!