'Disangka kahwin gadis 21 tahun, rupanya ibunya yang berusia 45 tahun'

SHAMLI, INDIA – Seorang lelaki dari Meerut tidak menyangka majlis pernikahannya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mendapati wanita yang dinikahinya bukanlah gadis berusia 21 tahun seperti dijanjikan, sebaliknya ibu kepada gadis tersebut yang berusia 45 tahun.
Mangsa, Mohammad Azim, 22, mendakwa dirinya telah diperdaya oleh abang kandung dan kakak iparnya ketika majlis akad nikah yang berlangsung pada 31 Mac lalu di Shamli.
Menurut laporan media tempatan, Azim telah dijanjikan akan berkahwin dengan Mantasha, anak saudara kepada kakak iparnya yang tinggal di Fazalpur, Kankerkhera. Namun, semasa upacara akad nikah dijalankan, dia mula berasa curiga apabila nama pengantin perempuan yang disebut oleh maulvi (tok kadi) adalah 'Tahira', yang merupakan ibu kepada Mantasha.
“Saya sangat terkejut apabila mengangkat kain penutup wajah pengantin dan mendapati wanita di hadapan saya adalah ibu kepada Mantasha, bukan gadis yang dijanjikan,” katanya dalam aduan kepada polis.
Azim mendakwa apabila dia membantah dan enggan membawa pengantin pulang, abangnya, Nadeem, serta kakak iparnya, Shaida telah mengugut untuk memfitnahnya dengan kes rogol palsu. Bimbang akan dituduh tanpa asas, dia akhirnya pulang bersendirian ke rumah.
Kes tersebut kini dalam siasatan selepas Azim membuat aduan rasmi kepada Pejabat Ketua Polis Superintenden (SSP) di Meerut pada Khamis lalu.
Ketua Polis Superintenden Meerut, Dr Vipin Tada mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berkenaan.
“Siasatan rapi sedang dijalankan dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan fakta sebenar,” katanya. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!