KPKT salur RM10.4 juta laksana 35 projek di Taiping

TAIPING - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM10.4 juta bagi pembangunan 35 projek di kawasan Taiping.
Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, peruntukan merangkumi pelbagai projek pembangunan, naik taraf infrastruktur, landskap dan penyelenggaraan.
Menurutnya, peruntukan itu disalurkan kerajaan melalui Program Pembangunan KPKT di bawah Rolling Plan 5, Rancangan Malaysia Ke-12 Belas (RMK-12).
"Daripada jumlah tersebut, RM4.1 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan sembilan projek menambah baik infrastruktur bandar Taiping antaranya Pasar Am Kamunting, Pusat Penjaja Jalan Stesen Kamunting, memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan projek pencahayaan Pasar Taiping.
"Manakala pelaksanaan pembangunan landskap persekitaran kehidupan di kawasan Lapangan Tanjung, Sungai Mas berjumlah RM500,000," katanya dalam sidang akhbar Program Sentuhan Kasih KPKT 3.0 2025 di Pasar Lama Taiping di sini pada Sabtu.
Kor Ming berkata, turut menerima impak dari peruntukan tersebut adalah kerja penyelenggaraan 22 Rumah Ibadat Bukan Islam serta 24 projek berkaitan inisiatif pembinaan rumah baharu dan pembangunan Kampung Baru.
Pada program itu, Ahli Parlimen Teluk Intan itu juga meninjau enam projek yang sedang dinaik taraf antaranya Medan Selera Pasar Sementara Kamunting dan Pusat Penjaja Jalan Stesen Kamunting.
Tambah Kor Ming, masalah banjir yang sering melanda Taman Kamunting Maju sejak 30 tahun lalu berjaya diselesaikan menerusi Projek Tebatan Banjir.
"Selain itu, kita meninjau projek menaik taraf Pasar Taiping dan Pasar Siang Malam melibatkan peruntukan sebanyak RM22 juta yang mana ia menjadi tumpuan pengunjung tahun depan.
"Projek ini telah siap dan bakal menyediakan kemudahan lebih moden dan kondusif kepada para peniaga serta orang ramai," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
