KPKT salur RM203.45 juta untuk 51 projek pembangunan di Pahang

KUANTAN - Sebanyak RM203.45 juta diperuntukkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi melaksanakan 51 projek pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam di Pahang sepanjang tahun ini.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu melibatkan 11 inisiatif utama akan dilaksanakan dengan kawal selia jabatan dan agensi di bawah kementerian berkenaan.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak RM63.45 juta diperuntukkan kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi pembinaan Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) di negeri ini.
“Sebanyak 782 unit rumah RMR akan dibina di Pahang tahun ini, dan setakat pagi ini 472 unit telah berjaya disiapkan.
"Program RMR diwujudkan bagi membantu isi rumah berpendapatan bawah RM5,000 yang belum memiliki rumah atau tinggal di rumah usang, tetapi mempunyai tanah sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan kunci RMR dan program bina baharu rumah di bandar Kuantan serta simbolik penyerahan replika cek peruntukan pembangunan dan perancangan Pahang di Kampung Cempaka, di sini pada Sabtu.
Kor Ming menjelaskan, sebanyak lapan projek kediaman di bawah Program Residensi Rakyat (PRR) turut dirancang dengan peruntukan RM61.73 juta.
Katanya, ia melibatkan pembinaan di beberapa lokasi termasuk Kuantan, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Inderapura dan Bera.
“Keseluruhan projek PRR ini dijangka memanfaatkan lebih ramai penduduk luar bandar dan kumpulan B40.
"Tahun ini, Pahang menjadi antara negeri yang menerima jumlah tertinggi projek perumahan PRR," katanya beliau lagi.
Selain itu, sejumlah RM21.13 juta turut diperuntukkan bagi pelaksanaan empat projek pembangunan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti pembinaan pusat perniagaan di Cameron Highlands, pembangunan Pekan Sentral di daerah Pekan serta kerja-kerja selenggara cerun.
Beliau menambah, sebanyak tujuh projek pengurusan sisa pepejal pula melibatkan nilai RM23.61 juta.
Kor Ming berkata, ia melibatkan di daerah Kuantan, Lipis, Maran, Bentong, Cameron Highlands, Temerloh dan Pulau Tioman.
"Projek ini dijalankan bagi memastikan sistem pengurusan sisa pepejal yang lestari dan mampan terus dipertingkatkan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, KPKT akan berganding bahu dengan Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan semua projek ini dilaksanakan mengikut jadual,
"Kita mahu merealisasikan perancangan pembangunan yang inklusif dan mampan demi kebajikan serta kesejahteraan rakyat," jelas beliau lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

