Guru pondok perlu kuasai AI tanpa abaikan pengajian al-Quran- Anwar

MACHANG - Guru-guru pondok di negara ini perlu menguasai teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) dalam menghadapi cabaran era digital tanpa mengabaikan pengajian al-Quran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kegagalan menguasai teknologi terkini dan AI, boleh menyebabkan institusi pondok tewas dalam menghadapi 'serangan baharu' yang menggantikan bentuk penjajahan masa lalu.
"Kalau guru pondok tidak kuasai AI, kita kalah. Ini serangan baharu.
"Walaupun tahu AI, kita kena kuasai al-Quran. Pada masa sama pengajian dan penggunaan kitab perlu dikekalkan.

"Sebab itu guru dan anak-anak pondok perlu dilatih sertai teknologi dan mengisi keperluan semasa," katanya ketika berucap pada Ijtimak Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di UiTM Machang di sini pada Sabtu.
Hadir sama ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Menurut beliau, perkara tersebut telah diutarakan kepada guru pondok, kekal dengan pengajian tetapi tambah ilmu baharu.
"Insya-ALLAH saya akan tambah bantuan dan berbincang dengan Menteri Pendidikan Tinggi untuk memperkukuh institusi pondok," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

