Malaysia terus usaha damaikan selatan Thailand - Anwar

Anwar semasa hadir pada Program Mahabbah Madani Umara dan Ulama Pondok Kelantan di Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (YIK) Kandis, Bachok pada Jumaat.
Anwar semasa hadir pada Program Mahabbah Madani Umara dan Ulama Pondok Kelantan di Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (YIK) Kandis, Bachok pada Jumaat.
A
A
A

BACHOK - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen Malaysia untuk terus membantu usaha mencari kedamaian dan keamanan di wilayah bergolak di selatan Thailand demi kesejahteraan rakyat serta kelangsungan Islam dan bahasa Melayu di kawasan itu.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi ASEAN berkata, isu tersebut adalah urusan dalaman kerajaan Thailand, namun beliau telah menghubungi kepimpinan negara itu dan menerima maklum balas positif.

"Thailand menunjukkan kesediaan untuk berusaha menghentikan ketegangan serta keganasan di kedua-dua pihak yang terlibat dalam konflik.

"Saya percaya dengan kebijaksanaan kepimpinan kerajaan Thailand, kita akan terus cuba dan menambah ikhtiar untuk mencari kedamaian dan keamanan," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Sebelum itu beliau hadir pada Program Mahabbah Madani Umara dan Ulama Pondok Kelantan di Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (YIK) Kandis di sini.

Hadir sama ialah, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Menurut beliau, ini penting supaya kawasan itu boleh dibangunkan, agama Islam diteruskan dan Bahasa Melayu dimartabatkan.

Dalam perkembangan sama, Anwar turut merakamkan penghargaan atas sambutan dan pengiktirafan terhadap kejayaan usaha Malaysia dalam membantu proses perdamaian di rantau ini.

"Alhamdulillah, pendamaian antara Thailand dan Kemboja diharap dapat kekal. Ia turut memberi kesan positif kepada rakan-rakan Islam di sana.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga apabila kita cuba usahakan pendamaian atau mengurangkan ketegangan di Myanmar, serangan terhadap umat Islam terutama Rohingya kini jauh berkurangan," jelas beliau.

Media sebelum ini melaporkan, penduduk Islam di wilayah selatan Thailand meminta Anwar supaya memainkan peranan sebagai pendamai bagi menamatkan konflik berlarutan di kawasan itu yang sudah meragut ribuan nyawa sejak beberapa dekad lalu.

Konflik di selatan Thailand yang membabitkan wilayah Narathiwat, Pattani, Yala dan sebahagian Songkhla berlarutan sejak awal 2000-an dengan lebih sejuta penduduk majoriti Islam terus mengimpikan kedamaian demi masa depan generasi akan datang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!