Cinta tidak direstui, remaja hilang dikesan

PORT DICKSON - Seorang remaja nekad keluar rumah sejak Ahad lalu selepas hubungan cinta dengan kekasih dihalang keluarga yang tidak senang anaknya dikasari hingga mengalami lebam di mata kanan.
Dikatakan Rosshamira Shahurin, 18, keluar dari rumah dengan hanya membawa beg tangan sewaktu ibu bapanya tiada di rumah.
Ibunya, Ana Salwa Rosdi, 53, berkata, anak kedua daripada lima beradik itu sempat meninggalkan nota memaklumkan mahu keluar rumah selama tiga bulan kerana tidak mahu menyusahkan keluarga.
“Saya tak pasti kenapa dia keluar rumah, saya tak ada marah atau berkasar dengannya. Dia sudah kerap kali keluar rumah, tapi kali ini kami tak tahu ke mana dia berada. Itu yang membuatkan kami susah hati.
“Masa dia keluar, suami ke Bentong, saya pula di tempat kerja. Bila sampai di rumah, salah seorang anak maklumkan Rosshamira keluar sehelai sepinggang hanya bawa beg tangan berserta kad pengenalan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Katanya, anaknya tidak dapat dihubungi, selain rakan-rakan anaknya juga memaklumkan tiada maklumat tentang keberadaan Rosshamira.
Dia memaklumkan telah membuat dua laporan polis berhubung kehilangan anaknya itu, selain mendakwa Rosshamira berkemungkinan kini berada dengan kekasihnya.
“Dia ada kekasih tapi keluarga tidak restu selepas dia pukul anak saya sampai lebam biji mata, jadi saya marah dan tak izinkan teruskan hubungan kerana belum berkahwin sudah berani angkat tangan.
“Kejadian itu berlaku beberapa hari sebelum anak saya nekad keluar rumah. Saya ada hubungi lelaki itu tapi dia nafi anak perempuan saya ada bersamanya,” katanya.
Ujarnya, sebagai ibu, dia berharap anaknya pulang ke pangkuan keluarga kerana risau akan keselamatannya.
“Dia sudah habis sekolah tapi masih di bawah umur. Tujuan saya hebahkan kehilangan dia bukan mahu menjual muka anak saya, tapi mengharapkan bantuan orang ramai untuk menjejaki anak saya,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ana Salwa di talian 018‑391 6310.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


