Guna laporan tahunan untuk pacu pelaksanaan RMK13

Pengisytiharan prestasi tahunan secara terbuka akan membolehkan semua pihak berkepentingan mengenal pasti KPI yang ketinggalan dan merangka penyelesaian untuknya. Gambar hiasan
Pengisytiharan prestasi tahunan secara terbuka akan membolehkan semua pihak berkepentingan mengenal pasti KPI yang ketinggalan dan merangka penyelesaian untuknya. Gambar hiasan
A
A
A

RANCANGAN Malaysia Ke-13 (RMK13) yang diumumkan baru-baru ini menandakan satu evolusi yang penting dan dialu-alukan dalam perancangan pembangunan negara kita.

Sebagai sebuah rancangan komprehensif yang direka untuk memacu pembangunan Malaysia ke arah sebuah negara maju, adil dan dihormati di peringkat global, ia menampilkan tiga inovasi pelaksanaan yang membezakannya daripada rancangan-rancangan sebelumnya.

Pertama, ia mengangkat kepentingan meningkatkan kecekapan kerajaan. Berbeza dengan RMK12, di mana ia merupakan salah satu daripada 13 bab, kecekapan kerajaan kini menjadi salah satu daripada empat tunggak utama RMK13.

Perubahan struktur ini menandakan komitmen serius oleh kerajaan untuk membina sektor awam yang lebih tangkas, responsif, dan berkesan, satu prasyarat untuk kemajuan negara.

Kedua, RMK13 mentakrifkan hasil yang diingini secara spesifik dan boleh diukur. Ia dibina berasaskan 27 keutamaan nyata, setiap satunya dipautkan kepada sejumlah 162 Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Sebagai contoh, Keutamaan B2, 'Mereformasi Pasaran Buruh', bukanlah satu aspirasi yang samar-samar tetapi satu set enam sasaran konkrit yang perlu dicapai menjelang 2030.

Sasaran-sasaran ini adalah untuk mengurangkan kadar pekerja asing kepada 10 peratus, meningkatkan komposisi pekerja mahir kepada 35 peratus, mengurangkan kejadian ketidakpadanan kemahiran dengan keperluan pekerjaan kepada 30 peratus, menaikkan gaji penengah bulanan kepada RM3,500, meningkatkan bahagian pampasan buruh daripada pendapatan negara kepada 40 peratus, dan menambah baik kadar penyertaan tenaga buruh wanita kepada 60 peratus. Tahap kejelasan dalam penetapan matlamat ini adalah pemboleh daya bagi pelaksanaan yang berjaya.

Ketiga, rancangan ini mewujudkan satu mekanisme pemantauan prestasi khusus yang dipanggil MyRMK, direka untuk menjejaki kemajuan 162 KPI secara suku tahunan. Ia juga mewujudkan laluan eskalasi yang jelas untuk menyelesaikan isu-isu yang menghalang kemajuan.

Namun, walaupun inovasi-inovasi dalam tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan awam ini patut dipuji, struktur yang dicadangkan kekurangan satu insentif kritikal untuk prestasi iaitu akauntabiliti awam.

Artikel Berkaitan:

Proses semasa, yang hanya melibatkan laporan awam pada kajian separuh penggal, adalah tidak mencukupi. Ia mewujudkan ruang selama 2.5 tahun untuk potensi kelalaian di mana isu-isu boleh membarah, tersembunyi daripada pandangan umum.

Apabila kajian separuh penggal mendedahkan kekurangan kemajuan, masa yang berharga telah hilang dan tindakan pembetulan menjadi amat sukar.

Pendekatan yang lebih baik adalah dengan mengadakan laporan tahunan awam. Pengisytiharan prestasi tahunan secara terbuka akan membolehkan semua pihak berkepentingan - agensi kerajaan, sektor swasta, masyarakat sivil dan orang awam - untuk meraikan pencapaian, secara kolektif mengenal pasti KPI yang ketinggalan dan merangka penyelesaian untuknya.

Ambil contoh sasaran untuk mencapai gaji penengah bulanan sebanyak RM3,500 menjelang 2030. Dengan pelaporan tahunan, kita tidak perlu menunggu sehingga 2028, iaitu waktu kajian separuh penggal, untuk mengetahui sama ada kita berada di landasan yang betul.

Sebaliknya, setiap tahun, kerajaan perlu melaporkan gaji penengah semasa. Jika ia tidak meningkat pada kadar yang diperlukan untuk mencapai sasaran 2030, ia akan mencetuskan wacana awam serta-merta dan mewujudkan tekanan kepada kerajaan untuk segera menambah baik dasar dan meningkatkan pelaksanaannya.

Ini mewujudkan kitaran penambahbaikan berterusan, menjadikan pencapaian sasaran 2030 lebih berkemungkinan.

Bagi Kerajaan Madani, menerima pakai sistem laporan tahunan awam bukan sahaja satu dasar yang baik, tetapi juga satu langkah politik yang bijak.

Pilihan raya umum berikutnya dijangka menjelang 2028. Pengundi tidak akan membuat keputusan berdasarkan janji-janji dalam rancangan yang dibentangkan pada 2025. Mereka akan membuat keputusan berdasarkan sama ada gaji mereka benar-benar telah meningkat dan kualiti hidup mereka benar-benar telah bertambah baik.

* Dr Andrew Fan ialah Pengarah Pengajian Ekonomi, Jaringan Penyelesaian Pembangunan Lestari (SDSN) Asia, Universiti Sunway

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!