Tiga individu dijangkiti bakteria selepas makan uri kambing

Memakan uri kambing boleh menyebabkan penyebaran bakteria dalam tubuh manusia. AFP
Memakan uri kambing boleh menyebabkan penyebaran bakteria dalam tubuh manusia. AFP
A
A
A

BEIJING -Tiga individu di China dimasukkan ke hospital selepas dijangkiti bakteria akibat memakan uri kambing yang dimasak sebagai makanan “berkhasiat”, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam talian mengenai amalan perubatan tradisional.

Seorang wanita bernama Zhang dari wilayah Guangdong dilaporkan mengalami demam berulang serta kehilangan berat badan sebanyak 5 kilogram dalam tempoh singkat selepas memasak dan memakan uri tersebut.

Hasil pemeriksaan di hospital mendapati Zhang dijangkiti bruselosis, sejenis jangkitan bakteria yang boleh merebak daripada haiwan kepada manusia.

Turut dijangkiti ialah kakak dan abang iparnya yang turut sama memakan "hidangan" tersebut yang dipercayai bertindak sebagai tonik dalam perubatan tradisional China.

Uri merupakan organ yang terbentuk dalam rahim ketika kehamilan dan sering dianggap sebagai bahan berkhasiat tinggi dalam perubatan tradisional, dikenali sebagai ziheche, yang dipercayai mampu merawat keletihan, masalah kesuburan dan menambah tenaga.

Bagaimanapun, menurut pakar perubatan, nutrien dalam uri mudah rosak apabila dimasak dan proses memasak tidak semestinya membunuh bakteria atau virus yang terkandung, justeru lebih banyak mudarat daripada manfaat.

Sejak 2005, China mengharamkan perdagangan uri manusia namun pasaran gelap dilaporkan masih wujud, dengan kebanyakan produk ziheche kini diperbuat daripada uri kambing, lembu atau rusa dan dijual sekitar 100 yuan (RM65) bagi setiap 50 gram.

Kes ini turut mengingatkan satu insiden pada 2024 apabila seorang wanita penghidap uremia mengalami kesakitan teruk akibat spondilitis berpunca daripada jangkitan bruselosis selepas anaknya memasak uri kambing untuknya selama tiga tahun.

Seorang doktor memberitahu saluran televisyen Shenzhen bahawa kemungkinan besar penyakit Zhang berpunca daripada uri yang tidak dimasak sepenuhnya, sambil menggesa orang ramai supaya menghentikan kepercayaan lapuk tersebut kerana terdapat banyak nutrien moden yang lebih selamat dan berkesan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!