Ke arah kedaulatan sebenar negara Palestin

Slovenia dijangka membawa usul untuk membincangkan semula permohonan Palestin bagi menjadi anggota penuh PBB. (Gambar kecil: Muhammad Shamsul)
Slovenia dijangka membawa usul untuk membincangkan semula permohonan Palestin bagi menjadi anggota penuh PBB. (Gambar kecil: Muhammad Shamsul)
A
A
A

MONENTUM untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat dan menjadi anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semakin mengukuh.

Khususnya selepas Perancis, Britain, Kanada, Malta, Slovenia dan Portugal menyatakan kesediaan untuk memberikan sokongan rasmi pada Sidang Agung PBB pada September ini.

Sokongan ini dilihat sebagai reaksi terhadap krisis kemanusiaan berterusan di Gaza yang telah mencetuskan tekanan diplomatik global dan memperbaharui desakan terhadap penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin.

Reuters melaporkan, Slovenia yang ketika ini mempengerusikan Majlis Keselamatan PBB bagi bulan Ogos, dijangka membawa usul untuk membincangkan semula permohonan Palestin bagi menjadi anggota penuh PBB, yang sebelum ini digagalkan oleh kuasa veto Amerika Syarikat pada April lalu.

Menteri Luar Slovenia, Tanja Fajon menyatakan, usaha ini mencerminkan komitmen negaranya terhadap keamanan sejagat dan keadilan bagi rakyat Palestin yang telah sekian lama dinafikan hak bernegara. Malta pula menyatakan bahawa pihaknya sedang menilai secara serius menyertai pengiktirafan tersebut menjelang September, yang dianggap sebagai waktu kritikal memandangkan sidang Perhimpunan Agung PBB bakal berlangsung ketika itu.

Buat masa ini, Palestin hanya memegang status sebagai ‘negara pemerhati bukan anggota’ di PBB sama seperti Vatikan. Status ini diberikan menerusi Resolusi Perhimpunan Agung PBB pada November 2012, yang disokong oleh 138 negara, ditolak oleh sembilan, manakala 41 lagi berkecuali. Status ini membolehkan Palestin menyertai perbahasan dan aktiviti di PBB, namun tanpa hak mengundi seperti negara anggota penuh.

Pada Mei 2024, Perhimpunan Agung (UNGA) telah meluluskan satu lagi resolusi penting yang mengiktiraf Palestin sebagai memenuhi kriteria keanggotaan penuh dan mengesyorkan agar Majlis Keselamatan mempertimbangkan permohonan tersebut secara positif. Palestin turut diberikan beberapa keistimewaan tambahan, termasuk tempat duduk penuh di dewan utama PBB bermula September 2024.

Untuk menjadi anggota penuh PBB, sesuatu negara perlu melalui dua peringkat kelulusan. Pertama oleh Majlis Keselamatan, dan kemudian Perhimpunan Agung. Di Majlis Keselamatan, permohonan memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi sokongan tanpa sebarang veto daripada lima anggota tetap iaitu AS, Britain, China, Rusia dan Perancis.

Namun pada April 2024, AS telah menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan usaha tersebut. Washington menegaskan bahawa negara Palestin hanya boleh ditubuhkan melalui rundingan langsung dengan Israel, bukannya melalui pendekatan unilateral di peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Tambahan pula, rundingan damai antara Israel dan Palestin telah terhenti sejak 2014, dan kini dilihat semakin sukar untuk dihidupkan kembali akibat konflik berdarah antara Israel dan Hamas di Gaza. Undang-undang domestik AS juga menghalang sebarang pembiayaan kepada agensi PBB yang menerima ahli yang tidak memenuhi ‘atribut kenegaraan yang diiktiraf secara antarabangsa’.

Di sebalik semua cabaran ini, momentum global untuk mengiktiraf Palestin semakin kukuh. Negara-negara Global Selatan secara konsisten menyokong Palestin sejak sekian lama, manakala perubahan sikap negara-negara Eropah tertentu menandakan berlakunya anjakan geopolitik yang dipacu tekanan rakyat serta kegagalan komuniti antarabangsa menghentikan penderitaan rakyat Gaza.

Sekiranya lebih banyak negara Eropah mengambil langkah pengiktirafan pada September ini, tekanan terhadap institusi antarabangsa seperti PBB untuk menerima Palestin sebagai anggota penuh juga akan meningkat secara signifikan.

Perkembangan ini berpotensi mencipta naratif baharu dalam perjuangan diplomatik Palestin, yang bukan sahaja menuntut pengiktirafan simbolik, tetapi juga akses terhadap hak dan perlindungan di bawah sistem undang-undang antarabangsa. Jika gerakan ini berhasil, September 2025 mungkin akan dikenang sebagai titik tolak penting ke arah kedaulatan sebenar negara Palestin.

*Muhammad Shamsul Abd Ghani ialah Wartawan Meja Global Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!