Jambatan Sungai Pontian Besar dinaik taraf

PONTIAN - Jambatan Sungai Pontian Besar di bandar ini akan dinaik taraf daripada dua kepada empat lorong dengan kos sebanyak RM49 juta dan dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek sejauh 250 meter itu akan dimulakan Oktober tahun ini selepas proses tender dijalankan pada September.
"Jambatan ini akan menampilkan mercu tanda berbentuk kapal layar di kedua-dua sisinya menjadikannya tarikan pelancongan di daerah ini.
"Pecah tanah projek ini akan disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Oktober nanti," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau jambatan berkenaan serta menerima taklimat pembangunan di daerah Pontian di Pejabat JKR Pontian pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Azman Ibrahim dan ADUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.
Menurut Ahmad, projek ini akan memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya dan mengurangkan kesesakan, sebagaimana projek menaik taraf Jambatan Sungai Pontian Kecil yang sedang dijalankan melibatkan kos RM22 juta.
Katanya lagi, kerajaan turut bercadang untuk menaik taraf laluan di Parit Semerah kepada empat lorong dengan anggaran kos RM25 juta.
"Permohonan projek ini sudah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 dan kerja-kerja pelebaran dijangka dimulakan tahun depan," katanya.
Tambah beliau, Hospital Pontian juga akan dinaik taraf dalam tempoh enam bulan bermula tahun ini.
"Kita minta kerja menaik taraf hospital disegerakan bagi memastikan penduduk di daerah ini menerima perkhidmatan kesihatan terbaik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


