Gen Z sanggup beratur demi sebiji setol RM20

Tidak menjadi masalah kepada Gen Z walaupun sebiji buah setol (panggilan di Kelantan) yang diracik dan dicampurkan colek resipi sendiri boleh mencecah RM20 sebekas.
Tidak menjadi masalah kepada Gen Z walaupun sebiji buah setol (panggilan di Kelantan) yang diracik dan dicampurkan colek resipi sendiri boleh mencecah RM20 sebekas.
A
A
A

BERMULA minggu lalu, Kelantan sibuk dengan pelbagai pesta dan karnival yang banyak mengetengahkan kebolehan usahawan dalam perniagaan, selain menonjolkan bakat dalam bidang profesional.

Lebih membanggakan, kebanyakan program tersebut melibatkan anak muda berusia bawah 35 tahun tetapi mereka telah membuktikan kejayaan dalam mengetengahkan produk sendiri.

Ramai dalam kalangan mereka merupakan pengasas makanan dengan pelbagai jenama baharu untuk jualan tersebut.

Orang ramai dapat melihat sendiri betapa gigihnya peniaga muda setiap hari membuat persiapan bagi menarik minat pelanggan.

Jika ditanya mengenai harga makanan yang dijual dalam beberapa festival pula, ramai Gen X mengeluh kerana kata mereka, harga mahal, tak setimpal dengan saiz makanan.

Mungkin pandangan mereka itu tidak mengambil kira kos perlu ditanggung peniaga termasuk sewa tapak yang tinggi.

Penulis melihat banyak juga makanan hasil ciptaan anak-anak Kelantan yang sudah dimodenkan dengan idea-idea baharu sehingga mampu meraih keuntungan. Mereka menunjukkan kesungguhan yang tinggi untuk lebih dikenali.

Pada masa sama, ia juga platform yang dapat memperkenalkan mereka dalam bidang perniagaan. Ya, itu juga termasuk dalam kos yang perlu ditanggung oleh peniaga tetapi mungkin tak kelihatan kepada pembeli.

Berbeza pula bagi Gen Z. Harga mahal bukanlah ukuran kerana mereka sudah membuktikannya dengan sanggup beratur panjang dan berpanas demi untuk menikmati makanan yang tular. Malah, mereka tanpa prejudis turut berkongsi di media sosial supaya orang lain juga dapat mencubanya.

Artikel Berkaitan:

Lebih mengejutkan, tidak menjadi masalah kepada Gen Z walaupun sebiji buah setol (panggilan di Kelantan) yang diracik dan dicampurkan colek resipi sendiri boleh mencecah RM20 sebekas.

Mereka tidak kisah berbelanja untuk buah hutan yang sebelum ini tak dipandang pun oleh golongan muda. Itu belum lagi makanan lain yang dicampurkan keju, diletak pelbagai jenis sayuran, ketulan dada ayam atau sos resipi sendiri.

Malah, kuih-muih juga berada pada ‘takhta’ yang tersendiri kerana ada yang mendakwa ia dijual lebih mahal berbanding pada hari biasa.

Jika pesta makanan menjadi tumpuan golongan Gen Z, penganjuran Karnival Sukan Udara pula mengetengahkan Gen X dan Gen Y yang hebat mengawal pesawat kawalan jauh serta paramotor.

Sebenarnya ramai anak tempatan mempunyai kapal terbang kawalan jauh yang mencecah harga sehingga RM40,000. Mereka juga mempunyai kelab yang kukuh dan selalu berkumpul dalam penganjuran sukan tersebut di satu lokasi khas di Pasir Puteh, dengan kawasan seluas lebih 40 hektar.

Rupa-rupanya tahun ini sudah edisi keempat penganjuran karnival sukan udara di peringkat Malaysia berlangsung di Kelantan, melibatkan ramai profesional anak Kelantan.

Bertemu dengan mereka yang rata-rata menceburi bidang perniagaan dan profesional mengakui sudah lebih 10 tahan terlibat dalam hobi sukan udara.

Jika selama ini minat itu dijadikan hobi sahaja tetapi kini mereka sudah menjadi pakar dalam bidang tersebut, boleh berkongsi pengalaman bersama peminat atau pemilik kapal terbang kawalan jauh dari seluruh negara.

Perkembangan itu menunjukkan ramai rakyat Kelantan berpotensi menceburi bidang fotografi udara, pemantauan dan penyelidikan menggunakan kawalan jauh.

Justeru, penulis berharap cadangan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor menjadikan Karnival Sukan Udara Peringkat Antarabangsa sebagai produk baharu di Kelantan akan menjadi kenyataan.

Beliau juga ada menyebut antara negara yang akan berkongsi teknologi terkini kawalan jauh itu ialah Singapura, Indonesia, Jepun dan Korea selain beberapa negara dari Eropah.

Kesimpulannya, boleh dikatakan generasi X, Y dan Z sebenarnya tidak kedekut membelanjakan wang mereka dengan cara berbeza tetapi dengan satu hasrat iaitu memajukan diri.

Mungkin boleh diberi pujian juga apabila ‘penyokongnya’ rakyat Kelantan sendiri kerana sanggup mencuba produk hingga jadi tular.

Apa yang penting, berilah peluang kepada golongan yang benar-benar mahu berubah dan memajukan negeri sendiri.

*Aswany Omar ialah wartawan Sinar Harian Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!