Dana RM100,000 lonjak keupayaan kampung di Felda

Pengurus Felda menyambut baik peruntukan khas RM100,000 kepada setiap kampung Felda di bawah inisiatif SejaTi Madani. - Gambar hiasan
Pengurus Felda menyambut baik peruntukan khas RM100,000 kepada setiap kampung Felda di bawah inisiatif SejaTi Madani. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN – Peruntukan khas sebanyak RM100,000 yang disalurkan secara terus kepada setiap kampung di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membuka ruang kepada komuniti setempat untuk merancang dan melaksanakan projek pembangunan secara lebih berdikari serta tersusun.

Pengurus Felda Bukit Sagu 2 dan 3, Wan Mohamad Hairee Wan Abdul Razak berkata, pendekatan baharu itu membuktikan kepercayaan kerajaan terhadap keupayaan kepimpinan di peringkat akar umbi dalam mengenal pasti keperluan kawasan masing-masing.

Beliau turut menyambut baik seruan kerajaan dalam menyalurkan terus peruntukan tersebut kepada pihak pengurusan rancangan.

"Ini sangat membantu bagi penambahbaikan projek sedia ada yang melibatkan JKKR (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan), GPW (Gerakan Persatuan Wanita), belia dan badan-badan komuniti lain.

“Ini kerana sesetengah organisasi ini tidak mempunyai dana khas bagi tujuan pelaksanaan projek yang sedang dirancang atau yang telah tersedia ada," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sementara itu, Pengurus Felda Bukit Goh, Raduan Rozali berkata, peruntukan tersebut merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap keupayaan pengurusan untuk merancang keperluan berdasarkan realiti di lapangan.

“Pertama sekali, saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan atas pengumuman bajet ini. Ia memberi ruang kepada pengurusan Felda dan kepimpinan untuk menyusun semula kemudahan mengikut keperluan masyarakat.

“Cuma yang penting, peruntukan ini perlu dimanfaatkan dengan baik supaya kesannya terus dirasai komuniti. Dengan panduan serta kawalan yang betul, dana ini mampu membawa banyak perubahan positif,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM100,000 kepada setiap kampung Felda menerusi inisiatif Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) bagi membolehkan masyarakat Felda melaksanakan projek pembangunan komuniti.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!