Lelaki bunuh isteri demi kekasih gelap, reka cerita disamun

BAREILLY – Seorang lelaki sanggup bertindak kejam membunuh isterinya sendiri demi memenuhi kehendak kekasih gelapnya, sebelum mereka-reka cerita kononnya mangsa mati akibat diserang perompak di tepi jalan.
Suspek, Om Saran, 38, ditahan pihak polis selepas keterangan awalnya didapati mencurigakan dan mengandungi pelbagai percanggahan.
Ketua Polis Bareilly, Anurag Arya memaklumkan, siasatan ke atas rekod panggilan telefon suspek mendedahkan dia sering berhubung dengan seorang wanita dikenali sebagai Mannat.
Wanita itu dipercayai kekasih gelap Saran dan menjadi dalang utama di sebalik pembunuhan berkenaan.
Menurut laporan, Mannat mendesak Saran supaya membunuh isterinya, Amarvati, jika mahu meneruskan hubungan cinta mereka.

Pada 30 Julai lalu, Saran membawa isterinya ke Purnagiri untuk menunaikan nazar.
Dalam perjalanan pulang, dia singgah di rumah mentuanya di Motipur dan meminjam sebuah motosikal serta parang daripada adik iparnya, Bhagwandas.
Sekitar jam 12.15 tengah malam waktu tempatan, dia memberhentikan motosikal di lokasi sunyi berhampiran Kampung Kanthari lalu menyerang isterinya dengan parang sehingga maut di tempat kejadian.
Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, Saran menanggalkan barang kemas mangsa iaitu rantai, subang emas dan wang tunai bernilai 10,000 rupee (sekitar RM490), sebelum menyembunyikannya di semak berhampiran untuk menjadikan seolah-olah isterinya mati akibat rompakan.
Dia kemudian menghubungi adik iparnya serta seorang rakan, Anil Yadav, kononnya untuk mendapatkan bantuan kecemasan dan membawa isterinya ke hospital.
Namun, hasil siasatan polis mendapati keterangan Saran tidak konsisten.
Selepas disoal siasat secara mendalam, dia akhirnya mengaku membunuh isterinya atas desakan kekasihnya sendiri.
Polis turut merampas senjata yang digunakan dalam pembunuhan, serta menjumpai semula barang kemas dan wang yang disembunyikan.
Saran kini ditahan reman dan disiasat di bawah Seksyen 103 (membunuh), 230 (mereka-reka bukti palsu), 238 (menghapuskan bukti jenayah) dan 240 (memberikan maklumat palsu) mengikut Kanun Jenayah India (Bharatiya Nyaya Sanhita – BNS).
Menurut polis, siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap Mannat bagi mengetahui sejauh mana penglibatannya dalam komplot pembunuhan itu. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

