Pelajar Tingkatan Tiga maut motosikal bergesel sesama sendiri

SEREMBAN - Seorang pelajar Tingkatan Tiga maut manakala dua rakannya cedera selepas motosikal ditunggang bergesel sesama sendiri di Jalan Persiaran Nusari 1, Sendayan di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, mangsa berusia 15 tahun maut akibat cedera parah pada bahagian kepala.
Timbalan Ketua Daerah Seremban, Superintenden Muhd Amrul Yazid Anuar berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan membabitkan dua motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dan CMC Ario.
"Kemalangan berlaku ketika motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz ditunggang rakan mangsa yang juga berusia 15 tahun dari arah Seremban menghala ke Sendayan.
"Namun, seorang lagi rakan mereka berusia 15 tahun menunggang motosikal jenis CMC Ario dari arah sama dikatakan bergesel sesama sendiri sebelum terbabas ke atas batu landskap di tengah jalan," katanya pada Sabtu.
Jelas beliau, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambahnya, penunggang Ego Avantiz dan CMC Ario pula mengalami cedera ringan di bahagian tangan kiri kanan dan kaki kiri kanan.
"Mayat mangsa dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau untuk prosedur bedah siasat manakala dua mangsa yang cedera dirawat di zon hijau Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini.
"Orang ramai atau saksi bebas yang mempunyai maklumat mengenai kejadia ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Syakinah Ahmad di talian 017-9013429," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

