Rundingan tarif AS cerminkan ketegasan Malaysia pertahan dasar nasional

PENGUMUMAN terbaharu mengenai kadar tarif import Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia yang kini diturunkan kepada 19 peratus daripada kadar asal sebanyak 25 peratus jelas menunjukkan kejayaan rundingan yang strategik oleh kerajaan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam sidang media pada Jumaat menegaskan bahawa Malaysia berjaya mempertahankan beberapa 'garis merah' penting demi melindungi kepentingan industri tempatan.
Antara permintaan utama AS yang ditolak termasuklah penghapusan duti eksais terhadap barangan seperti automotif, tembakau dan minuman keras; pengecualian pelesenan import secara menyeluruh untuk produk AS; serta liberalisasi penuh syarat ekuiti dalam sektor strategik negara.
Penolakan ini bukan sekadar menunjukkan ketegasan dasar Malaysia tetapi juga menggambarkan pendirian jelas bahawa liberalisasi perdagangan tidak seharusnya mengorbankan kestabilan ekonomi dan peluang pekerjaan rakyat tempatan.
Khususnya dalam sektor automotif, Malaysia mempunyai kepentingan besar dengan lebih 700,000 tenaga kerja terlibat, termasuk pengeluar kereta nasional dan pembekal dalam rantaian bekalan.
Maka, sebarang langkah yang boleh mengancam industri ini akan memberi impak besar kepada ekonomi negara.
Dalam konteks rundingan akan datang, kerajaan dijangka akan terus mengekalkan pendekatan yang berhemah tetapi tegas.
Malaysia perlu berhati-hati dalam menyeimbangkan antara usaha menarik pelaburan asing dan melindungi dasar-dasar keistimewaan tempatan seperti ekuiti Bumiputera dan lesen import strategik.
Dalam pada itu, terdapat dakwaan sebuah akhbar yang melaporkan Malaysia bersedia untuk mengiktiraf pensijilan halal AS bagi beberapa produk, termasuk farmaseutikal yang berkemungkinan akan menghapuskan keperluan produk AS untuk mendapatkan pengesahan halal daripada Jakim.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul menafikan dakwaan berkenaan dan menyatakan pendirian negara yang tidak berganjak dari segi pematuhan syariah dan pengesahan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) sebagai prasyarat ke atas import daging dari semua negara, bukan hanya AS.
Jelas beliau, apa yang telah dipersetujui AS ialah untuk memudah cara proses pengimportan daging halal AS ke Malaysia.
Ini juga menunjukkan komitmen Malaysia dalam menegakkan prinsip kedaulatan agama dan integriti sistem pensijilan halal negara meskipun berhadapan tekanan daripada kuasa ekonomi besar seperti AS.
Pendirian itu penting dalam memastikan keyakinan pengguna muslim di negara ini kekal terpelihara, selain mengekalkan standard halal yang ketat dan dihormati di peringkat antarabangsa.
Secara keseluruhan, perkembangan rundingan ini bukan sahaja memperlihatkan ketegasan Malaysia dalam mempertahankan dasar nasional, malah menjadi isyarat bahawa negara mampu berunding secara matang dan berprinsip dalam kerangka perdagangan global yang semakin kompleks.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

