KWSP sedia teliti skim bayaran pencen bulanan bawah RMK13

KWSP mengambil maklum pertimbangan kerajaan untuk memperkenalkan skim bayaran pencen secara bulanan bagi ahli. - Gambar hiasan
KWSP mengambil maklum pertimbangan kerajaan untuk memperkenalkan skim bayaran pencen secara bulanan bagi ahli. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil maklum pertimbangan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memperkenalkan skim bayaran pencen secara bulanan bagi ahli KWSP.

KWSP dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa cadangan itu sedang diteliti dan sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas sesi libat urus yang menyeluruh dengan pihak berkepentingan serta pertimbangan sewajarnya terhadap kepentingan jangka panjang ahli.

Menurut KWSP, buat masa ini, peraturan dan mekanisme pengeluaran kekal seperti sedia ada.

"Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan melalui saluran rasmi dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Menurut dokumen RMK13 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi pada Khamis, kerajaan akan meneroka satu mekanisme baharu bagi menjamin pendapatan yang berterusan selepas bersara, bertujuan meningkatkan kesejahteraan pekerja.

Antara langkah yang dicadangkan ialah pengasingan caruman KWSP kepada dua komponen, iaitu simpanan persaraan dan pencen persaraan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!