Sultan Nazrin berangkat rai Hari Pahlawan Negeri Perak

Sultan Nazrin berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormat pada sambutan Hari Pahlawan 2025 Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis. Foto Bernama
Sultan Nazrin berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormat pada sambutan Hari Pahlawan 2025 Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Perak 2025 di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Khamis.

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Keberangkatan tiba baginda pada jam 9.00 pagi disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin; Laksamana Muda, Datuk Abdul Halim Shaari yang mewakili Panglima Armada Barat; dan Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohamad Rosli Abu Bakar.

Majlis dimulakan dengan lagu kebesaran negeri Perak, diikuti pemeriksaan kawalan kehormatan utama oleh Sultan Nazrin yang terdiri daripada tiga pegawai kanan polis dan 102 pegawai rendah polis, diketuai Superintenden Mohd Aster Mohamad dan dibantu Deputi Superintenden Ahmad Auzan Mohd Noor.

Pegawai pembawa panji-panji ialah Inspektor Mohd Nor Syahid Shaharum, manakala barisan perhimpunan pula melibatkan 408 pegawai dan anggota pasukan keselamatan, termasuk veteran Angkatan Tentera Malaysia dan pesara polis.

Majlis diiringi pancaragam Brass Band KD Pelandok yang dianggotai 45 orang di bawah pimpinan Leftenan Muhamad Ali Rajaie Nor Mohamed dari Tentera Laut Diraja Malaysia.

Sebaik pemeriksaan kawalan kehormatan selesai, tiupan Paluan Akhir (Last Post) dimainkan dan Jalur Gemilang diturunkan.

Majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh Inspektor Adib Azimat dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, diikuti deklamasi sajak bertajuk Darah Perwira di Tanah Merdeka, yang disampaikan oleh Leftenan Hadzeri Julai dari Rejimen 503 Askar Wataniah dan Koperal Nurul Syuhada Azmi dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

Sebaik selesai, tiupan Rouse dimainkan dan Jalur Gemilang dinaikkan semula, diikuti lagu kebesaran negeri Perak.

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin kemudian berkenan berangkat ke Majlis Santapan di Dewan Bankuet sebelum berangkat pulang.

Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun, sempena tanggal tamatnya darurat di Tanah Melayu iaitu pada 31 Julai 1960.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!